Keadilan Sosial Diperjuang, Kekejaman Israel Perlu Dikecam – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir merasmikan Forum Keselamatan Sosial Dunia 2025 di Kuala Lumpur pada 29 September 2025. Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 29 Sep – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, soal keselamatan sosial global dan keamanan dunia tidak akan dicapai sekiranya isu kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin dibiarkan berterusan.

Tegas Perdana Menteri, tindakan rejim Zionis Israel itu sememangnya melanggar prinsip kemanusiaan, undang-undang antarabangsa serta mencetuskan ketidakadilan sosial yang sedang diperjuangkan setiap negara.

“Namun kita tahu, pemindahan besar-besaran keluarga di Gaza yang sedang berlaku kini, bukanlah akibat perubahan iklim, tetapi akibat tindakan sebuah negara Zionis yang tidak menghormati undang-undang antarabangsa dan berterusan melanggar prinsip kemanusiaan.

“Pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh Israel terhadap rakyat Palestin ini wajar dikecam tanpa kompromi.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir merasmikan Forum Keselamatan Sosial Dunia 2025 di Kuala Lumpur pada 29 September 2025. Foto Bernama

“Ia bukan sekadar kenyataan politik, tetapi pendedahan pelanggaran hak asasi manusia yang serius, menjejaskan keselamatan sosial global serta hak asasi manusia untuk hidup dalam keadaan selamat, bermaruah, dan mendapat akses kepada perkhidmatan asas,” jelasnya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama merasmikan Forum Keselamatan Sosial Dunia 2025 di ibu negara hari ini.

Hadir sama dalam majlis itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong dan Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Peta laluan dan kedudukan terkini kapal-kapal GSF yang berlepas dari Greece dan mula memasuki perairan Mesir menuju Gaza pada 29 September 2025. Foto GSF

Mengulas lanjut, Anwar menambah, sesebuah negara yang memperjuangkan keselamatan sosial tidak membawa sebarang makna sekiranya hanya berdiam diri terhadap kekejaman rejim itu.

“Dalam hal ini, tindakan berani individu yang menyertai flotila ke Gaza melambangkan penentangan padu terhadap penindasan dan solidariti tidak berbelah bahagi dengan rakyat Gaza.

“Penglibatan aktivis antarabangsa, termasuk dari Malaysia, menekankan kepentingan tanggungjawab global dalam mencabar keganasan dan penindasan yang ditaja negara serta memperjuangkan hak rakyat Palestin,” tegasnya.

Terdahulu, konvoi Global Sumud Flotilla (GSF) memasuki perairan utara Mesir sejauh kira-kira 400 batu nautika dari pantai Gaza dan kini berdepan risiko diserang rejim Zionis sebaik memasuki zon merah lintasan sempadan perairan yang dikuatkuasakan rejim zalim itu.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *