KEADILAN Mesyuarat Bincang Persiapan PRU-15

PETALING JAYA, 10 Okt – Parti Keadilan Rakyar (KEADILAN) mengadakan mesyuarat khas di ibu pejabatnya di sini, malam ini susulan pengumuman Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob berhubung pembubaran Parlimen, petang tadi.

Mesyuarat itu dipercayai bagi membincangkan mengenai gerak kerja dan persiapan parti menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang boleh diadakan pada bila-bila dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran Parlimen.

Puluhan pengamal media mula berhimpun di hadapan ibu pejabat parti seawal 8 malam tadi, dengan mesyuarat yang dipengerusikan Presiden, Anwar Ibrahim telah bermula sekitar jam 9 malam tadi.

Timbalan Presiden KEADILAN yang juga Pengarah Pilihan Raya, Rafizi Ramli difahamkan membentangkan perkembangan terkini mengenai hala tuju pilihan raya parti dan Pakatan Harapan (PH) kepada ahli mesyuarat.

Beberapa pimpinan tertinggi parti tiba ke ibu pejabat KEADILAN seawal 8.30 malam tadi, antaranya Naib Presiden, Aminuddin Harun dan Nurul Izzah Anwar; Timbalan Pengarah JPRP (Pengurusan), Rodziah Ismail dan ahli-ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Petang tadi, Ismail Sabri mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa hari ini selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk memberi laluan kepada PRU-15.

Perdana Menteri membuat pengumuman itu menerusi perutusan khas yang disiarkan secara langsung ke seluruh negara, menerusi siaran televisyen dan media dalam talian pada 3 petang tadi.

Dalam pada itu, KEADILAN akan terus menjadi tulang belakang PH dengan pelbagai tawaran menarik kepada rakyat apabila manifesto bersama dilancarkan sejurus pengumuman agihan kerusi dan calon selesai dalam masa terdekat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *