KEADILAN Harus Lebih Agresif Tumpu Isu Rakyat, Perkasa Generasi Akan Datang – Rusnah Aluai

KUALA LUMPUR, 21 Jul – Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) harus menjuarai dan menumpukan isu-isu rakyat bagi memperkasa nasib dan masa depan generasi akan datang.
Sambil menegaskan itu matlamat sebenar perjuangan KEADILAN, Ahli Parlimen Tangga Batu, Rusnah Auai berkata, rakyat Malaysia mahukan kehidupan mereka lebih baik di bawah pentadbiran kerajaan yang dipilih selain mahukan keselesaan untuk anak-anak generasi akan datang yang lebih baik dan cerah.
“Rakyat Malaysia mahukan kehidupan mereka lebih baik di bawah pentadbiran kerajaan yang dipilih.

“Malah, mereka mahukan keselesaan untuk anak-anak generasi akan datang ang lebih baik dan cerah,” ujar beliau menerusi kenyataan media di Facebook pada Khamis.
Justeru tambah beliau, tumpuan KEADILAN adalah kepada rakyat serta berusaha menyelesaikan permasalahan yang dihadapi mereka ketika ini.
Ini bermaksud segenap lapisan pimpinan harus memberi perhatian dan usaha gigih memperjuangkan kebajikan kepada golongan daif, asnaf, miskin, kurang upaya dan lemah agar terus dibela.
“Tumpuan KEADILAN adalah kepada rakyat. Berusaha menyelesaikan permasalahan yang dihadapi mereka ketika ini.
“Malah, memberi perhatian dan usaha gigih memperjuangkan kebajikan kepada golongan daif, asnaf, miskin, kurang upaya dan lemah agar terus dibela,” jelas Rusnah yang juga Ketua Cabang KEADILAN Tangga Batu.
Ujarnya, isu kemiskinan mesti dilawan habis-habisan agar semua rakyat dapat mengecapi keselesaan bersama.

Justeru itu, katanya, KEADILAN perlu muncul ke hadapan sebagai parti yang memperjuang isu-isu rakyat ketika negara kini berdepan dengan kelesuan politik.
“Rakyat akan percaya dengan pentadbiran yang baik jika KEADILAN terus berusaha dalam menjaga kebajikan mereka,” tambahnya lagi.
Beliau sendiri kerap turun padang bertemu rakyat bagi memastikan pelbagai permohonan dan keperluan mustahak seperti isu setempat dan penyediaan infrastruktur asas dilaksanakan mengikut jadual walaupun menjadi ahli parlimen pembangkang.
