Ke Mana Hala Tuju Buah-Buahan Tempatan?

Harga durian Musang King di Beijing dilaporkan boleh mencecah RM350 sebiji menandakan permintaan tinggi dan prospek positif terhadap raja buah Malaysia itu. Foto Satria
PENDAPAT, 29 Jun – Buah-buahan tempatan Malaysia mempunyai potensi besar untuk dikomersilkan ke pasaran global sekiranya kaedah penanaman dan pengeluaran ditambah baik secara menyeluruh dan bersistematik.
Sebenarnya Malaysia kaya dengan pelbagai jenis buah-buahan tropika seperti ciku, langsat, durian, manggis, rambutan, nanas, betik dan pisang yang mempunyai permintaan tinggi di pasaran antarabangsa, khususnya di negara-negara Asia seperti China, Jepun, Korea Selatan dan negara Timur Tengah, malah boleh menembusi pasaran Afika dan Amerika Latin.
Bagi memastikan buah-buahan tempatan mampu bersaing di peringkat global, petani dan pengusaha perlu menitikberatkan kaedah penanaman moden yang mesra alam, penggunaan teknologi pertanian pintar serta amalan pertanian baik (GAP).
Peningkatan kualiti hasil, saiz, kesegaran dan jangka hayat penyimpanan buah adalah faktor penting yang perlu diberi perhatian bagi memenuhi standard eksport antarabangsa.
Nampaknya, peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ke atas buah-buahan import kecuali limau mandarin, epal, oren dan kurma memberi rahmat kepada pengusaha buah-buahan tempatan bagi meningkatkan keupayaan pengeluaran bagi memenuhi permintaan domestik malah ke pasaran global.
Kita mahu pembangunan pusat pengumpulan, pembungkusan dan pemprosesan yang mematuhi piawaian antarabangsa juga antara kriteria yang dapat meningkatkan nilai tambah buah-buahan tempatan.
Penekanan terhadap pensijilan halal, organik atau mesra alam boleh meningkatkan keyakinan pengguna global terhadap produk tempatan terutama penekanan terhadap industri halal dan buah-buahan yang memenuhi standard tinggi bagi meningkatkan nilainya sama ada produk mentah atau yang telah diproses.
Kerajaan pula perlu memperkukuh sokongan melalui penyediaan insentif, program latihan, akses kepada pasaran baharu serta rantaian kerjasama strategik dengan pengimport luar negara tanpa melupakan kempen ‘Belilah Barangan Buatan Malaysia’.
Hala tuju industri buah-buahan tempatan bukan sahaja dapat meningkatkan pendapatan petani, malah mampu menjadi penyumbang penting kepada ekonomi negara melalui hasil eksport yang berdaya saing di pasaran global.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

