KDN Sokong Keperluan Senjata Bagi AKPS – Saifuddin Nasution

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika menyantuni anggota Op Khas Pagar Laut di atas Kapal Maritim (KM) Tun Fatimah pada 1 April 2024. Foto Arkib

KLANG, 26 Feb – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyokong keperluan penggunaan senjata untuk pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) bagi memperkukuh aspek keselamatan ketika melaksanakan tugas di semua pintu masuk negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keperluan itu akan dinilai secara menyeluruh oleh kepimpinan AKPS berdasarkan risiko operasi serta ancaman semasa yang dihadapi di lapangan.

Menurut Saifuddin Nasution, AKPS yang baharu setahun lebih penubuhannya memikul tanggungjawab besar melibatkan pengawalan dan penguatkuasaan pergerakan manusia serta barangan di 122 pintu masuk seluruh negara.

“Jadi kalau untuk meningkatkan soal keselamatan seluruh anggota AKPS, kalau ada keperluan mengguna pakai senjata dan sebagainya, saya serahkan sepenuhnya kepada kepimpinan AKPS dalam susun atur.

“Saya dan Ketua Setiausaha KDN, adalah beri sokongan supaya agensi dapat menjalankan tugas dengan berkesan dan pada masa jaminan keselamatan terhadap pegawainya terjamin,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, beliau meninjau Op Khas Pagar Laut Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di Perairan Selangor di atas Kapal Maritim (KM) Tun Fatimah.

Berhubung kes tembakan Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, Saifuddin Nasution menegaskan satu sidang akhbar khas akan dibuat Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah, esok.

Ketua Pengarah AKPS Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain mengadakan pertemuan tertutup dengan warga AKPS Bukit Kayu Hitam susulan insiden tembakan ke atas Komander Bukit Kayu Hitam, Mohd Nasaruddin M Nasir pada 25 Februari 2026. Foto Bernama

Terdahulu media melaporkan Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain menyatakan keperluan pembekalan senjata api dan jaket kalis peluru untuk para pegawainya bagi menjamin keselamatan ketika bertugas.

Ini susulan kes tembakan ke atas Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir yang dalam perjalanan ke sebuah masjid untuk menunaikan solat subuh dengan memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X70.

Polis kemudiannya berjaya menahan suspek yang disyaki melepaskan tembakan dalam tempoh tidak sampai 24 jam.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *