KANTOI? Mahathir Juga Terima Dana Politik RM2.6 Juta – Saksi

KUALA LUMPUR, 25 Jul – Dr Mahathir Mohamad dinamakan sebagai salah seorang individu yang menerima RM2.6 juta sebagai derma politik daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) untuk partinya ketika itu, Bersatu, selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Bekas pengurus pentadbiran UKSB, David Tan memberitahu Mahkamah Tinggi pada perbicaraan rasuah Ahmad Zahid Hamidi hari ini wang itu diserahkan melalui anak saudara Mahathir, Rahmat Abu Bakar.

Bagaimanapun, ketika diperiksa balas peguam Zahid, Ahmad Zaidi Zainal, Tan berkata beliau tidak pasti sama ada Rahmat pengarah Giromakro Sdn Bhd.

Zaidi: Mengapa beri derma RM2.6 juta kepada Rahmat?

Tan: Sebagai dana politik untuk Mahathir dan Bersatu.

Wang itu dikatakan diberi kepada Rahmat selepas PH memegang kuasa susulan PRU14 dan Mahathir menjadi perdana menteri buat kali kedua.

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam Ahmad Zahid, Ahmad Zaidi Zainal; bekas Pengurus Pentadbiran UKSB, David Tan Siong Sun, 47, berkata bekas Perdana Menteri itu yang juga bekas Pengerusi Bersatu menerima sumbangan itu untuk kegunaan parti berkenaan menerusi anak saudaranya, Rahmat Abu Bakar.

“Kod nama ‘Kedahan’ digunakan untuk Rahmat dalam buku lejar UKSB yang menunjukkan aliran keluar wang syarikat berkenaan.

“(Presiden Bersatu), Muhyiddin Yassin juga menerima sumbangan dana politik daripada UKSB menerusi rakan baiknya, Teo Wee Cheng yang juga Pengarah SHH Resources Holdings Bhd,” katanya.

Ahmad Zaidi: Ahmad Zahid juga menerima sumbangan politik?

Siong Sun: Ya.

Ahmad Zaidi: Kamu ada lihat (Dr) Mahathir dan Muhyiddin dalam mahkamah?

Siong Sun: Tidak.

Ahmad Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi melanjutkan kontrak syarikat berkenaan sebagai pengendali Pusat Sehenti (OSC) di China dan Visa Luar Negara (VLN), serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh kementerian terbabit.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa sebagai menteri sama ketika itu, mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3 juta, 15,000 Swiss Franc dan AS$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau.

Ahmad Zahid didakwa melakukan semua kesalahan itu di Sri Satria, Presint 16, Putrajaya, dan Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *