Kadar Pengangguran Kini 2.9 Peratus, Terendah Dalam 11 Tahun – PMO

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah mengadakan Taklimat Media Pejabat Perdana Menteri (PMO) di Putrajaya pada 16 Januari 2026. Foto PMO
PUTRAJAYA, 16 Jan – Kedudukan pasaran pekerjaan negara terus menunjukkan perkembangan positif apabila kadar pengangguran merekodkan paras terendah dalam tempoh 11 tahun.
Keadaan itu mencerminkan keupayaan ekonomi negara menyokong peluang pendapatan dan kesejahteraan rakyat.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, berkata kadar pengangguran negara kini berada pada paras 2.9 peratus, selari usaha kerajaan memperkukuh kesejahteraan isi rumah dan kestabilan ekonomi domestik.

“Perkembangan ini memberi isyarat positif terhadap kedudukan pasaran pekerjaan serta keupayaan ekonomi untuk terus menyokong peluang pendapatan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi Taklimat Pejabat Perdana Menteri yang disiarkan di Facebook, hari ini.
Tunku Nashrul berkata, prestasi memberangsangkan itu turut disokong pertumbuhan ekonomi yang kukuh apabila Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengumumkan Anggaran Awalan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Suku Keempat 2025 berkembang sebanyak 5.7 peratus.
Katanya, pencapaian terbabit sekali gus membawa pertumbuhan keseluruhan 2025 kepada sekitar 4.9 peratus, melepasi unjuran rasmi kerajaan antara 4.0 hingga 4.8 peratus.
Tunku Nashrul berkata, langkah penyesuaian dasar dan pembaharuan ekonomi yang dilaksanakan kerajaan membantu mengekalkan kestabilan ekonomi domestik meskipun berdepan persekitaran global yang mencabar, termasuk tekanan luaran terhadap perdagangan.
“Pendekatan bantuan dan subsidi yang lebih bersasar terus memberi sokongan kepada kuasa beli golongan yang memerlukan,” katanya.
Beliau berkata, pengukuhan hubungan dua hala dan pelbagai hala dengan rakan antarabangsa turut menyumbang kepada peningkatan keyakinan pelabur serta memastikan kesinambungan aktiviti perdagangan dan pelaburan negara.
“Insya-Allah, kerangka Ekonomi MADANI akan terus menjadi asas pengurusan ekonomi negara dengan penekanan kepada pertumbuhan yang seimbang, berdaya tahan dan berpaksikan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


