Jika Masih Ditindas, Kerajaan Tak Hantar Pulang Pelarian Rohingya – Fahmi

Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Seri Fahmi Fadzil pada sidang media mingguan pasca mesyuarat kabinet di Angkasapuri pada 5 Ogos 2026. Foto Kementerian Komunikasi
PUTRAJAYA, 5 Ogos – Kerajaan tidak akan menghantar pulang pelarian Rohingya ke Myanmar sekiranya mereka masih berdepan penganiayaan atau nyawa mereka terancam di negara itu, kata jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Fahmi berkata, Kementerian Luar dan Kementerian Dalam Negeri sedang mengenal pasti pelarian yang akan dihantar pulang selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa Myanmar bersetuju menerima semula 5,000 pelarian Rohingya hasil rundingan antara kedua-dua negara.
“Perdana menteri mengambil maklum bahawa kita tidak boleh menghantar pulang pelarian itu sekiranya nyawa mereka terancam.

“Jadi, ada beberapa perkara yang kita akan teliti dahulu dalam perbincangan dengan kerajaan Myanmar sebelum kita laksanakan (penghantaran pulang),” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Jemaah Menteri.
Beliau berkata Putrajaya juga akan meneliti kriteria yang ditetapkan oleh Myanmar bagi proses penghantaran pulang pelarian dan akan mematuhinya sekiranya didapati bersesuaian.
Fahmi berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan menerima jaminan daripada Myanmar bahawa pelarian terbabit akan tiba dengan selamat, selain persoalan mengenai pihak yang akan menanggung kos penghantaran serta kaedah pengangkutan yang akan digunakan.
Sebelum ini, beberapa pihak termasuk pertubuhan hak asasi manusia dan ahli politik mempersoalkan keputusan kerajaan untuk menghantar pulang 5,000 pelarian Rohingya ke Myanmar dengan alasan kumpulan etnik itu masih berdepan penganiayaan di negara tersebut.
Jemaah Menteri bincang kes juruterbang ditahan di Indonesia
Dalam perkembangan berasingan, Fahmi berkata Jemaah Menteri turut membincangkan kes seorang juruterbang rakyat Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Indonesia minggu lalu kerana disyaki menyeludup kira-kira 25kg dadah melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta.
Beliau berkata Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Dalam Negeri memberi taklimat mengenai langkah penambahbaikan yang perlu dilaksanakan segera, termasuk memperkukuh kawalan keselamatan di lapangan terbang dengan menempatkan anggota polis selain pasukan polis bantuan sedia ada.
“Malaysia Airlines akan diminta menyemak semula protokol pemeriksaan latar belakang serta saringan kesihatan bagi juruterbang dan pembantu juruterbang.
“Polis serta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia juga diminta meneliti aspek yang mungkin boleh disalahgunakan, termasuk kelompangan yang mungkin ada, dan ini perlu ditutup dan diuruskan dengan segera,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


