Jangan Ketawa: PN Mampu ‘Tawan’ Putrajaya Pada PRU16

Keupayaan Bersatu untuk merampas Putrajaya dipertikai penganalisis ekoran masalah dalaman semakin buruk.
SHAH ALAM, 6 Sep – Perikatan Nasional (PN) yakin mampu ‘menawan’ semula tampuk kuasa di Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.
Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Hamzah Zainudin berkata, PN sudah ‘membuktikan keupayaan’ dalam pentadbiran negara sebelum ini, dipercayai merujuk kepada pentadbiran ‘tebuk atap’ selama 33 bulan dari Mac 2020 hingga November 2022.
“Insya-ALLAH kita akan kembali ke Putrajaya tidak lama lagi. Kita pernah memimpin negara, pertama kali bersama Mahathir Mohamad dan kemudian di bawah Muhyiddin Yassin.
“Kepimpinan terdahulu membuktikan Bersatu dan PN mampu memerintah dengan lebih baik berbanding Kerajaan MADANI hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Sayap-Sayap Bersatu 2025 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini pada Sabtu.
Bagaimanapun, penganalisis menyifatkan Bersatu terlalu awal untuk mengumumkan perkara itu di saat parti itu sedang dilanda krisis kepimpinan dalaman.
Menurut Zarizi Jamil, Bersatu seharusnya menumpukan perhatian kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah terlebih dahulu sebelum berangan-angan mahu merampas Putrajaya.
“Kita tahu Hamzah selalu cakap besar, contohnya akan bawa usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat tidak lama selepas himpunan 26 Julai, tetapi sampai sekarang Kerajaan MADANI terus kukuh.
“Jadi cakap-cakap politik di pentas politik tanpa membuktikan kemampuan diri seharusnya ditolak seluruh rakyat apatah lagi tempoh pemerintahan singkat 33 bulan hanya membawa malapetaka kepada rakyat,” katanya.

Beliau juga merujuk kepada kegagalan Muhyiddin memastikan ekonomi berkembang selepas pandemik malah mengambil jalan singkat membenarkan pengeluaran RM10,000 dalam akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sedang dalam masa sama Jana Wibawa dirembat sebanyak mungkin ketika mereka berkuasa.
Itu belum lagi dikira dengan kegagalan mereka menjadi elemen semak dan imbang di Dewan Rakyat sebaliknya hanya cuba mensensasikan sesuatu isu bersama sekutunya, Pas.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


