Jame Gesa Pemimpin KEADILAN Positif, Lantikan Politik Platform Anggota Parti Bantu Kerajaan

Jame Stephen berpandangan lantikan politik dalam agensi kerajaan sewajarnya dilihat secara positif oleh pemimpin parti bagi meneruskan kelangsungan kepimpinan dalam pentadbiran kerajaan. Foto Facebook Jame Stephen
BINTULU, 19 Jan – Dasar melantik ahli politik menyertai agensi kerajaan perlu diberi kelonggaran dan penambah baikan oleh kepimpinan KEADILAN Pusat bagi memastikan kelangsungan perjuangan melakukan reformasi dalam pentadbiran kerajaan dan negara.
Aktivis KEADILAN Sarawak, Jame Stephen berkata lantikan ahli politik ke dalam agensi kerajaan adalah sangat penting kepada parti politik seperti KEADILAN dalam melahirkan pemimpin pelapis berkualiti yang mampu untuk meneruskan kesinambungan perjuangan seterusnya memajukan potensi diri dan kemampuan mereka demi negara.
Ujarnya, selama 25 tahun KEADILAN menjadi pembangkang, sudah tiba masanya untuk anggota parti yang berwibawa memimpin organisasi dalam kerajaan agar mereka berperanan aktif dalam selok-belok pentadbiran kerajaan demi kemakmuran negara pada masa hadapan.
“Sejak berpuluh tahun bergelut menjadi pembangkang, ada juga yang sebahagiannya pernah menjawat jawatan tinggi di Selangor atau di Pulau Pinang tetapi sebahagian besar pimpinan politik yang lahir dari cabang-cabang akar umbi yang juga profesional tidak diberi kesempatan kerana bukan berasal dari negeri mereka yang menang.

“Hakikatnya, mereka bertungkus lumus memimpin organisasi parti di peringkat cabang ataupun pusat dan memerah segala tenaga demi untuk parti dalam keadaan serba serbi kekurangan.
“Kemudiannya ada juga yang diturunkan pangkat, ditukarkan tempat bertugas, ditekan di tempat kerja dek kerana menyokong KEADILAN yang ketika itu masih menjadi parti pembangkang.
“Mereka ini terdiri daripada golongan profesional seperti jurutera, peguam, guru atau doktor yang berkhidmat di agensi-agensi kerajaan yang sekian lama dikuasai pegawai kerajaan yang tidak semuanya menyokong kerajaan,” katanya.
Tegas Jame, tanpa pengorbanan seperti yang mereka telah lakukan, parti ini tidak akan berada pada tahap hari ini kerana dalam keadaan yang tersepit dan tertekan, mereka mampu memimpin dan membawa parti ini menempa kejayaan menerajui Kerajaan Persekutuan.
Pemerkasaan Pendidikan Luar Bandar Masih Jauh Dan Berliku – Jame Stephen
“Semua yang membina parti ini tentunya optimis agenda reformasi yang dilaung-laungkan sebelum ini akan tercapai dengan jayanya satu hari nanti.
“Namun dalam semangat reformasi, tentunya mereka ini mahu ke depan bagi menyumbang buah fikiran, idea dan wang ringgit kepada bagaimana reformasi itu dicapai dengan jayanya.
“Yakinlah, reformasi akan lebih tercapai jika golongan-golongan anggota parti profesional yang boleh menyumbang kepada negara dilantik kepada jawatan yang lebih tinggi daripada sebelum ini,” jelasnya.
Jame turut menegur amalan lantikan politik kerajaan sebelum ini yang tidak terkawal sehinggakan seorang ahli parlimen boleh memegang dua atau tiga jawatan dalam agensi kerajaan atau dikenali dengan ‘Scheme of Things’ bagi mengelak mereka berpaling tadah.
Langkah KKD Wujudkan Segmen ‘Biar Betul!’ Tepat Pada Masanya, Tangkis Berita Palsu – Jame Stephen
“Jika kerajaan sebelum ini telah melantik lantikan politik pilihan mereka di dalam agensi-agensi kerajaan dibolehkan tanpa menapis lantikan tersebut, Ini bakal mengundang kepada kegagalan melaksanakan agenda refomasi.
“Sebaliknya jika lantikan itu dapat dikawal melalui tapisan kepada yang dilantik seperti yang ditegaskan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, maka negara ini akan dipimpin oleh pimpinan politik yang berjiwa rakyat.
“Pimpinan pusat harus melangkah ke hadapan dan memandang perkara ini sebagai satu perkara serius dan gunakan sebaiknya kesempatan yang ada agar dapat mengangkat kedudukan parti sehingga boleh dibanggakan dan dihormati rakyat,” ujarnya lagi.
Terdahulu kembimbangan isu lantikan politik dalam agensi kerajaan menjadi perdebatan tetapi adakah pegawai kerajaan mampu bergelumang dengan kempen pilihan raya seperti mana yang dialami ahli politik.
Bertindak Segera Ke Atas Pentadbiran Harta Pusaka – Jame Stephen
Justeru adalah wajar lantikan ahli politik dalam agensi kerajaan dinilai semula bagi memastikan mereka yang benar-benar berkaliber mengikut kepakaran masing-masing diserap bagi menambah nilai polisi dan dasar yang akan memberi manfaat kepada rakyat.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
