Jakim Anjur Program Kerohanian Sambut Ambang Tahun Baharu

Masjid Putra di Putrajaya akan anjur program kerohanian sempena ambang tahun baharu 2024. Foto The Star

PUTRAJAYA, 29 Dis – Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) akan menganjurkan Program Kerohanian Ambang Tahun Baharu 2024 di Masjid Negara serta Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, di sini, pada Ahad ini.

Ketua Pengarah Jakim Datuk Hakimah Mohd Yusoff dalam kenyataan hari ini berkata, pelbagai aktiviti kerohanian diadakan sebagai alternatif kepada masyarakat Islam di negara ini yang menjadi kelaziman menyambut tahun baharu.

Menurutnya, antara aktiviti yang dirancang ialah bacaan Yasin, majlis zikir dan doa selamat di Masjid Negara.

“Di Masjid Putra pula, selain aktiviti bacaan Yasin, zikir dan doa selamat, akan turut diadakan ceramah khas ambang tahun baharu oleh Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Prof Madya Dr Luqman Abdullah, serta bacaan al-Quran oleh Naib Johan Qari Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa Tahun 2022 Ustaz Aiman Ridhuan.

Masjid Putra di Putrajaya akan anjur program kerohanian sempena ambang tahun baharu 2024. Foto The Star

“Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin pula menampilkan program khas Ambang Gema Syukur dengan pengisian Kuliah Maghrib Khas, sesi Tadabbur Surah Al-Mulk dan refleksi,” katanya.

Hakimah berkata, Program Kerohanian Ambang Tahun Baharu akan diteruskan pada Isnin ini dengan acara Qiamulail Tahun Baharu; Solat Subuh berjemaah; Ceramah Khas Subuh 4 GAZA yang akan disampaikan oleh salah seorang aktivis Palestin Dr Abdelrahman Ibrahim.

Beliau berkata, selain itu Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin turut membuka aktiviti gerai jualan yang mana sebahagian hasil jualan akan disumbangankan kepada tabung Palestin.

“Jakim ingin mengajak seluruh lapisan masyarakat hadir beramai-ramai bersama ahli keluarga untuk sama-sama mengimarahkan masjid dengan pelbagai aktiviti kerohanian.

“Di samping bermunajat dan berdoa semoga negara kita dijauhi dari segala musibah, bala bencana dan wabak penyakit, doa juga dipohon agar Palestin diberikan keamanan dari pergolakan yang berpanjangan,” katanya.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *