Jadual Padat Menanti PM Anwar Sempena Lawatan Rasmi Ke India

Lawatan Perdana Menteri yang ketika itu Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 10 Januari 2019 telah mewujudkan jalinan kerjasama antara Malaysia dan India di bawah pentadbiran Perdana Menteri Narendra Modi. Foto X Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai jadual yang padat sempena lawatan tiga hari ke India, dengan pertemuan dengan syarikat terkemuka, menyampaikan syarahan dan bertemu rakan sejawat, Narendra Modi.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke India, Datuk Muzaffar Shah Mustafa, berkata Perdana Menteri dijangka tiba di New Delhi sekitar jam 9.40 malam ini waktu tempatan (12.10 malam waktu Malaysia) bagi memulakan lawatan rasmi tiga hari.

Sejurus tiba, beliau bersama delegasi Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Digital serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, dijadual mengadakan perjumpaan dengan tiga syarikat tempatan, iaitu Tata Consultancy Services, Emami Agrotech Ltd dan HCLTech.

Perdana Menteri India, Narendra Modi (dua dari kiri) dan Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalaman sambil diperhatikan Naib Presiden Amerika Syarikat, Kamala Harris (tengah) sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 di Jakarta. Foto AFP

Acara sambutan rasmi Anwar akan diadakan di perkarangan kediaman rasmi Presiden India, Rashtrapati Bhavan di sini, disusuli upacara meletakkan kalungan bunga sebagai tanda penghormatan di Tugu Peringatan Ghandi di Kompleks Memorial Raj Ghat.

Perdana Menteri kemudian dijadual menerima kujungan hormat Menteri Hal Ehwal Luar India, S Jaisankar Prasad, disusuli perjumpaan dua hala tertutup dengan Modi.

Beliau juga dijangka menyaksikan beberapa majlis menandatangani memorandum persefaham (MoU) membabitkan kedua-dua negara.

Anwar turut dijadual menyampaikan syarahan bertajuk ‘Ke arah Pembangunan Global Selatan, Memanfaatkan Hubungan Malaysia-India’ pada program Majlis Hal Ehwal Dunia India (ICWA).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima sepucuk surat daripada Narendra Modi sempena ucapan Hari Raya Aidiladha pada 17 Jun lalu. Foto X Anwar Ibrahim

Menyertai Perdana Menteri dalam lawatannya ialah Menteri Sumber Manusia, Steven Sim; Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian, Datuk Seri Tiong King Sing serta Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Turut serta, Menteri Digital, Gobind Singh serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Pertemuan Perdana Menteri dengan Modi di sini adalah yang kedua selepas pertama kali pada Januari 2019. pemimpin India itu pernah ke Malaysia ketika pentadbiran Datuk Seri Najib Razak pada 23 November 2015.

Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Narendra Modi mengadakan pertemuan dua hala di New Delhi pada 10 Januari 2019 bagi meningkatkan kerjasama antara kedua-dua negara. Foto India PMO

Sebagai simbolik persabahatan India dan Malaysia, Najib dan Modi ketika itu merasmikan Gerbang Torana di Little India di Brickfields, Kuala Lumpur, iaitu hadiah kerajaan India kepada Malaysia.

Tiga tahun kemudian, Modi yang dalam perjalanan ke Singapura, singgah di Malaysia untuk mengucapkan tahniah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad berikutan kejayaan Pakatan Harapan menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

India dan Malaysia dalam proses untuk memperkukuh rangka kerja bagi menjalankan perdagangan dalam mata wang negara. Justeru lawatan ini diyakini dapat menjana nilai potensi pelaburan serta memperkukuhkan hubungan perdagangan dua hala.

Lawatan sulung Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke India selepas dilantik sebagai Perdana Menteri pada Isnin ini dijangka mengeratkan hubungan dan kerjasama antara kedua-dua negara. Foto pertemuan Sidang Kemuncak ASEAN-Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Ke-13 di Pusat Konvensyen Jakarta (JCC) tahun lalu. Foto Bernama

Hubungan ekonomi dua hala kukuh direkodkan dengan nilai perdagangan semasa tahun fiskal 2022-2023 (April-Mac) sekitar AS$20 bilion (RM88.64 bilion).

Dalam aspek pelaburan, HH Healthcare Malaysia melabur dalam hospital di India dan Petronas mempunyai projek penting dalam sektor tenaga. Syarikat Malaysia turut mengendalikan projek jalan raya dan lapangan terbang utama di India.

Selain Malaysia, India juga dilihat mengutamakan hubungannya dengan rantau ASEAN dan komited untuk mengeratkan lagi hubungan itu dengan negara-negara anggota ASEAN selaras Akta Dasar Timur kerajaannya.

Pertemuan Anwar dan Modi juga dijangka membincangkan visi mereka untuk rantau Indo-Pasifik, terutama ketika Malaysia bersiap sedia untuk mengambil alih pengerusi ASEAN pada 2025.

– Oleh Magendran Rajagopal


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *