Jadikan Keputusan Mahkamah The Hague Amaran Kepada Pengkhianat Negara – Iswardy

KUALA LUMPUR, 27 Jun – Keputusan Mahkamah Rayuan The Hague hari ini wajar dijadikan iktibar buat rakyat Malaysia agar sebarang pengkhianatan kepada kedaulatan dan kepentingan negara tidak sesekali dapat dimaafkan.

Sambil menyatakan rasa syukur dengan keputusan mahkamah berkenaan, Setiausaha Kerja Penerangan KEADILAN, Iswardy Morni berpandangan, tuntutan kumpulan Sulu terhadap kepentingan negara yang juga dipercayai didalangi rakyat Malaysia memberi amaran tegas bahawa sebarang campur tangan kedaulatan negara mesti dibanteras.

“Keputusan Mahkamah The Hague ini merupakan satu tamparan hebat terhadap pengkhianat negara yang bersekongkol dengan kumpulan Sulu merompak harta negara atas alasan tidak munasabah.

“Saya juga memberi peringatan agar pengkhianatan sebegini wajar dibanteras semua pihak kerana ia juga membuktikan merit Malaysia dalam pertikaian yang dicetuskan kumpulan Sulu ini berniat jahat menggugat kedaulatan negara,” katanya.

Berdasarkan kronologi tuntutan kumpulan itu tahun lalu, Mahkamah Timbang Tara Perancis memutuskan waris terakhir Sultan Sulu di Filipina layak mendapat AS$14.9 bilion dalam pertikaian membabitkan perjanjian tanah yang berlaku sejak zaman kolonial.

Iswardy sifatkan keputusan Mahkamah Rayuan The Hague satu tamparan hebat kepada pengkhianat negara yang bersekongkol dengan tuntutan kumpulan Sulu cuba menggugat kedaulatan negara. Foto Facebook Iswardy Morni Utama.

Waris tersebut dilaporkan telah cuba untuk merampas aset Kerajaan Malaysia yang berada di Perancis, Luxembourg dan Belanda, dalam usaha untuk menguatkuasakan keputusan mahkamah itu.

Malaysia, yang tidak mengambil bahagian dalam prosiding timbang tara tersebut, berkata proses itu menyalahi undang-undang.

Malaysia kemudian berjaya mendapatkan perintah penangguhan pelaksanaan penghakiman tersebut di Perancis tetapi keputusan itu tetap boleh dikuatkuasakan di luar negara di bawah perjanjian PBB berhubung timbang tara.

Iswardy juga menambah, ia juga merupakan kemenangan negara dalam memastikan kepentingan rakyat dan kedaulatan negara terus dipelihara kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Difahamkan pada September tahun lalu, waris Sulu meminta kebenaran daripada mahkamah Belanda untuk menguatkuasakan anugerah itu di Belanda, lapor Reuters.

Bagaimanapun, hakim Belanda dalam keputusan yang berpihak kepada Malaysia mengatakan perjanjian asal tidak mempunyai klausa yang mengikat pihak untuk timbang tara dan penggantungan yang diperolehi di Perancis tidak boleh dikuatkuasakan di Belanda, ujar Mahkamah Rayuan Belanda di laman webnya pada Selasa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *