Jadikan Datuk Azizulhasni Inspirasi Galak Anak Muda Bersaing Di Pentas Olimpik – Andre Lai

Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan Andre Lai menganggap keazaman ditunjukkan Azizulhasni mampu membakar semangat atlet muda memburu impian ke saingan tertinggi itu pada masa depan.

KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Ibu bapa diseru menjadikan komitmen tertinggi ditampilkan jaguh berbasikal negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang sebagai inspirasi menggalakkan anak-anak Malaysia beraksi di pentas Sukan Olimpik.

Sambil mengucapkan terima kasih terhadap pengorbanan pelumba berusia 36 tahun itu, Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan Andre Lai menganggap keazaman ditunjukkan Azizulhasni mampu membakar semangat atlet muda memburu impian ke saingan tertinggi itu pada masa depan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menulis kata-kata semangat kepada jaguh berbasikal trek negara itu menerusi ciapannya di platform X.

“Ibu bapa perlu menggalakkan anak-anak mereka untuk lebih aktif dalam sukan dengan matlamat menjadi atlet berprestasi tinggi hingga ke Sukan Olimpik.

“Selain sukan tradisi seperti badminton dan berbasikal trek, inspirasi yang dicetuskan Datuk Azizulhasni seharusnya membuka mata anak muda terutama para pelajar menggapai impian meraih pingat emas pertama buat negara.

“Aktiviti sukan bukan sahaja meningkatkan kesihatan fizikal tetapi juga membentuk disiplin, kerja berpasukan, dan daya saing.

“Biarpun beliau tidak dapat meneruskan saingan bagi acara keirin namun kata-kata perangsang Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada beliau cukup memberikan isyarat sokongan tidak berbelah bahagi Perdana Menteri bagi membakar semangat atlet muda mencapai status sepertinya,” ujarnya.

Mengulas lanjut beliau berkata, melalui latihan sukan yang konsisten, anak-anak akan belajar tentang ketahanan mental dan fizikal serta kepentingan usaha dan keazaman dedikasi mencapai sasaran yang diinginkan.

Menyokong mereka dalam mencapai matlamat ini juga boleh membuka peluang untuk mereka mengejar kejayaan di peringkat yang lebih tinggi dan mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

“Saya yakin dengan dorongan yang betul, anak-anak boleh mengasah bakat mereka dan mungkin satu hari nanti mengharumkan nama negara di Sukan Olimpik edisi seterusnya di Los Angeles pada 2028.

“Tidak mustahil pada temasya itu nanti, berbekalkan pengalaman dan semangat juang atlet elit seperti Azizulhasni, pingat emas pertama mampu digapai dan saya berharap Muhammad Shah Firdaus Sharom akan menggalas tugas dengan cemerlang hari ini,” jelasnya.

Difahamkan acara suku akhir keirin saringan pertama membabitkan Muhammad Shah Firdaus dilangsungkan jam 5.29 petang tadi waktu Malaysia dan berjaya mara ke separuh akhir setelah menduduki tempat ketiga daripada empat pelumba yang layak.

Terdahulu Anwar menitipkan kata-kata semangat kepada Mohd Azizulhasni sebaik mengetahui beliau tersingkir dalam pusingan pertama acara keirin Sukan Olimpik Paris 2024 pada Sabtu.

Ciapan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyokong sepenuhnya Datuk Azizulhasni Awang sebagai permata negara. Foto X Anwar Ibrahim

“Kamu tetap permata negara @AzizulAWANG,” katanya menerusi ciapan di X hari ini.

Difahamkan komisar perlumbaan acara itu mendapati Azizulhasni memotong pacer dalam saringan pertama pusingan awal acara keirin itu menyebabkan beliau tersingkir daripada persaingan sekali gus cubaan untuk meraih emas terkubur.

Ketika itu pasukan berbasikal negara cuba membuat rayuan, namun berdasarkan senarai pelumba ke pusingan ‘repechages’ menyaksikan nama Azizulhasni tiada dan ini bermakna kelibat pemenang pingat perak dan gangsa di Olimpik Tokyo 2020 dan Rio 2016 tidak dapat beraksi.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *