Isu Taman Limau Emas 2: ’Jalan Penyelesaian Makin Hampir’ – Abul Jais

Ketua Cabang KEADILAN Beruas yang juga Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Manjung Abul Jais Ashfaq Ahmed (kanan) mengadakan lawatan tapak bersama pihak berkaitan di Taman Limau Emas 2, Beruas pada 22 Disember lalu. Foto Facebook Abul Jais
BERUAS, 26 Dis – Isu projek perumahan terbengkalai acap kali disiarkan di media namun akhirnya sepi begitu saja tanpa sebarang tindakan tuntas pihak berwajib.
Namun dengan inisiatif Ketua Cabang KEADILAN Beruas, Abul Jais Ashfaq Ahmed memperjuangkan isu perumahan terbengkalai di Taman Limau Emas 2 di sini, akhirnya menemui sinar harapan buat para pembeli baru-baru ini.
Hampir 40 tahun lalu ketika projek ini dibangunkan sehingga kini, pelbagai masalah timbul namun pihak berwajib ketika itu tidak mengendahkan gesaan dan rintihan para pembeli yang terkesan.
”Apabila saya melihat Kerajaan Perpaduan giat memperjuang malah menyelesaikan isu perumahan terbengkalai, saya telah ajukan kepada pihak berwajib untuk tindakan segera kerana pemilik rumah mengadu tiada perkembangan ketika itu.

”Saya telah menghubungi Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Perak YB Sandrea (Ng Shy Ching) dan beliau meneliti permasalahan yang berlaku dan semua pihak berkaitan turun padang mencari jalan penyelesaian,” ujarnya.
Sandrea sendiri pernah mengulas isu berkenaan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak baru-baru ini.
“Lima projek ini termasuk Taman Limau Emas 2 adalah antara yang kita akan beri tumpuan, dalam masa sama kita pantau masalah yang berkaitan dengan projek-projek ‘sakit’, supaya dapat disiapkan walaupun lewat, ujar Sandrea baru-baru ini.
Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) dan Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyedari akan permasalahan yang timbul selain satu lagi projek ‘sakit’ turut melanda kawasan ini.
Hasil daripada makluman itu, satu lawatan tapak melibatkan pelbagai pihak diadakan yang dihadiri Yang DiPertua Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Syamsul Hazeman Mat Salleh, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif LPHP, Setiausaha MPM,
Jabatan Bangunan, Perancang dan OSC Majlis Perbandaran Manjung serta Ahli Majlis MPM.
Lawatan diadakan pada 22 Disember lalu melihat sendiri punca permasalahan projek selain memanggil pihak kontraktor Trans Eco Development Sdn Bhd bertujuan mempermudahkan beberapa isu berkaitan.

Abdul Jais yang juga Ahli Majlis MPM yakin projek ini dijangka akan disambung semula secepat mungkin dan pihaknya berterima kasih kepada kerajaan negeri dan pihak berkaitan kerana membantu mencari jalan sesegera mungkin.
”Insya-Allah dengan usaha semua pihak, saya berharap agar projek ini dapat disambung semula dalam masa terdekat bagi memberi keadilan kepada para pembeli yang terpaksa menyewa sehingga kini.
”Ia juga memenuhi aspirasi Malaysia MADANI yang diilhamkan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan iltizam Kerajaan Perpaduan membantu rakyat tanpa mengira kaum, agama malah fahaman politik,” ujarnya lagi.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
