Israel Terus Bedil Gaza Tanpa Peduli Resolusi Gencatan Senjata PBB

Sebuah helikopter tentera Israel terbang selepas meninggalkan pesakit di helipad sebuah hospital, di tengah-tengah konflik berterusan di antara pejuang Hamas dan Israel di Tel Aviv, Israel, semalam. Foto Reuters

GAZA, 28 Mac – Tentera Israel bertindak mengepung Gaza, semalam sebelum menyerang Hamas di sekitar hospital, ketika Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) menuntut gencatan senjata di Palestin.

Setakat ini, rundingan mengenai perjanjian gencatan senjata dan pembebasan tebusan membabitkan negara pengantara Amerika Syarikat (AS) dan Mesir tidak membawa hasil apabila Israel dan pejuang Hamas saling menyalahkan di antara satu sama lain.

Ketegangan semakin meningkat di antara Israel dan sekutu utamanya, AS susulan isu kekurangan makanan yang meruncing di Gaza dan jumlah kematian orang awam yang semakin meningkat dalam perang yang tercetus pada Oktober tahun lalu.

AS juga menentang rancangan Israel untuk melancarkan serangan daratnya ke kawasan bandar di selatan Rafah yang mempunyai seramai 1.5 juta penduduk dan kebanyakan mereka kehilangan tempat tinggal akibat perang terbabit.

Sebuah helikopter tentera Israel terbang selepas meninggalkan pesakit di helipad sebuah hospital, di tengah-tengah konflik berterusan di antara pejuang Hamas dan Israel di Tel Aviv, Israel, semalam. Foto Reuters

Israel sekali lagi bertindak menyerang bandar Gaza dan Rafah dengan bom pada waktu malam.

Tentera Israel telah menyerang Pejuang Hamas di tiga hospital di Gaza dan telah menimbulkan kebimbangan terhadap pesakit, kakitangan perubatan dan mereka yang kehilangan tempat tinggal.

Pertempuran berlaku sejak minggu lalu di sekitar Hospital Al-Shifa di bandar Gaza dan baru-baru ini berhampiran di dua hospital di bandar utama selatan Khan Yunis, Al-Amal dan Nasser.

Tentera dan perkhidmatan keselamatan Shin Bet berkata mereka tetap menjalankan operasi yang sepatutnya di kedua-dua bandar dan perlu mencegah bahaya kepada orang awam, pesakit, pasukan perubatan dan peralatan perubatan.

Tentera berkenaan berkata, berpuluh-puluh pejuang Hamas terbunuh di kawasan hospital Al-Shifa dan ratusan daripada mereka telah ditahan.

Kementerian Kesihatan Gaza berkata, kereta kebal dan kenderaan berperisai Israel telah berkumpul di sekitar Hospital Nasser dan beberapa tembakan dilepaskan, namun tiada serbuan dilakukan.

Jurucakap tentera memberitahu AFP pihaknya sudah beroperasi di kawasan berkenaan, bagaimanapun mereka belum berada di dalam kawasan hospital.

Bulan Sabit Merah Palestin memberi amaran bahawa beribu-ribu terperangkap di dalam hospital berkenaan dan nyawa mereka dalam bahaya.”

Palestin berdepan kira-kira enam bulan peperangan dan pengepungan yang telah menyebabkan rakyatnya terputus bekalan makanan, air, bahan api dan bekalan lain.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah memberi amaran bahawa 2.4 juta penduduk Palestin berada di ambang kebuluran buatan manusia.

Laluan trak bantuan dari Mesir telah menjadi semakin perlahan sejak permulaan perang apabila pegawai Israel menjalankan pemeriksaan yang ketat.

Kerajaan penderma telah menghantar makanan ke Gaza, di mana orang ramai yang terdesak telah bergegas ke arah barangan bantuan yang digugurkan menggunakan payung terjun.

Sekurang-kurangnya 18 orang dilaporkan terkorban minggu ini dalam insiden rempuhan dan lemas di Laut Mediterranean.

Pihak Hamas telah menggesa penamatan bantuan bekalan makanan melalui udara dan meminta penghantaran bantuan melalui jalan raya dipertingkatkan.

Imej AFP pada semalam menunjukkan sebuah pesawat tentera sekali lagi menghantar bantuan bekalan melalui udara menggunakan payung terjun ke Gaza dan tentera Jordan mengumumkan lima peti bantuan diturunkan di utara wilayah itu dengan menggunakan pesawat Mesir, Emiriah Arab Bersatu, Jerman dan Sepanyol. – AFP


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *