Iskandar Malaysia: Pembangunan Tidak Harus Pinggirkan Kelompok Masyarakat – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan mesyuarat Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) bersama para pemegang taruh di Putrajaya pada 15 Oktober 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
PUTRAJAYA, 15 Okt – Pembangunan pesat di Iskandar Malaysia mesti diselarikan dengan penyediaan kemudahan asas yang mencukupi demi memastikan kejayaan zon berkenaan dapat direalisasikan, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Perdana Menteri berkata, langkah itu bagi memastikan kemajuan zon pembangunan itu bersifat inklusif dan tidak meminggirkan mana-mana kelompok masyarakat.

“Saya menegaskan pentingnya pembangunan di Iskandar Malaysia diselarikan dengan penyediaan kemudahan asas yang mencukupi agar kemajuan wilayah ini bersifat inklusif, bagi memastikan tiada kelompok masyarakat yang terpinggir daripada arus kemakmuran,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Pihak Berkuasa (MOA) ke-35, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) hari ini.

Pada mesyuarat itu, beliau dimaklumkan bahawa Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) terus menunjukkan momentum luar biasa apabila berjaya menarik pelaburan diluluskan berjumlah RM37 bilion bagi separuh pertama tahun ini.
Jumlah itu bersamaan 66 peratus daripada keseluruhan pelaburan di Johor yang bernilai RM56 bilion dalam tempoh sama.

Anwar menambah, mesyuarat turut meneliti kemajuan pelaksanaan JS-SEZ termasuk sektor berpotensi, kesan pelaburan semasa dan langkah memperkukuh fasilitasi pelaburan, khususnya melalui Zon Kewangan Khas Forest City.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
