Isak Pastikan Arsenal Tumbang Di Emirates

Penyerang Newcastle, Alexander Isak merembat masuk gol pertama menentang Arsenal pada separuh akhir pertama Piala Liga di Stadium Emirates, London. Foto AFP

LONDON, 8 Jan – Alexander Isak meledak gol ke-50 buat Newcastle United ketika anak buah Eddie Howe semakin hampir mara ke final Piala Liga Inggeris dengan kemenangan 2-0 di Arsenal awal pagi tadi.

Isak menyumbat gol sejurus sebelum rehat pada separuh akhir pertama di Stadium Emirates dan kemudian memainkan peranan besar bagi gol kedua Newcastle dijaringkan Anthony Gordon selepas rehat.

Arsenal pasti kecewa gagal menyempurnakan beberapa peluang baik dengan Gabriel Martinelli dinafikan oleh palang gol pada babak pertama dan Kai Havertz terlepas satu peluang keemasan.

Kapten Arsenal, Martin Odegaard kelihatan muram selepas tumpas di tangan Newcastle pada separuh akhir pertama Piala Liga di Stadium Emirates, London. Foto Reuters

Newcastle, yang tidak menang sebarang trofi utama sejak tahun 1955, kini menjadi pilihan utama untuk melengkapkan tugas mereka pada separuh akhir kedua di Tyneside bulan depan.

Tottenham Hotspur melayan kunjungan penyandang juara Liverpool pada satu lagi pertembungan separuh akhir pertama awal pagi esok.

Arsenal tidak kalah dalam 13 perlawanan terakhir bagi semua pertandingan namun tidak berada pada tahap terbaik mereka menentang Newcastle yang klinikal dan bertindang cemerlang di London utara.

Tiga hari lalu mereka menang 2-1 di Tottenham untuk merapatkan kedudukan dengan kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris dan mereka kembali untuk menceriakan kelompok penyokong bergelar Toon Army.

Pemain Newcastle meraikan kemenangan ke atas Arsenal pada separuh akhir pertama Piala Liga di Stadium Emirates, London. Foto Reuters

Isak kelihatan tidak boleh dikekang akhir-akhir ini dan dia kini menyumbat 10 gol dalam sembilan aksi terakhir bersama kelab itu.

Penyerang Sweden itu mensia-siakan satu peluang awal apabila merembat melepasi palang namun membuktikan ketajamannya selepas 37 minit apabila menyambut satu hantaran jauh sebelum menyepak masuk melepasi David Raya.

Arsenal mengancam dengan lencongan Martinelli terkena palang gol dari penjuru kotak penalti dan Newcastle dipaksa bertahan bermati-matian dalam satu pergelutan di depan pintu gol.

Jurrien Timber turut menanduk bola melepasi palang dari jarak dekat buat tuan rumah dan Havertz lebih malang selepas rehat apabila dia gagal menanduk ketika gol terbentang luas.

Ketika itu, Newcastle sudah mendahului 2-0 susulan satu tampanan mudah oleh Gordon pada minit ke-50.

Jacob Murphy membuat hantaran kemas kepada Isak yang mana rembatan kencangnya ditumbuk Raya sebelum Gordon menampan masuk bola muntah.

Arsenal menekan pada lewat permainan untuk cuba mengurangkan defisit tetapi Newcastle mempertahankan kubu mereka dan akan membawa kelebihan selesa ke St James’ Park. – REUTERS


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *