Iran Sasar Serangan Ke Atas Pejabat Netanyahu

Kenderaan menunggu di sempadan antarabangsa Bashmagh antara wilayah Kurdistan di utara Iraq dan Iran pada 1 Mac 2026. Foto AFP

TEHRAN, 2 Mac – Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) hari ini memaklumkan serangan peluru berpandu mereka menyasarkan pejabat Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan ibu pejabat komander tentera udara Israel.

“Pejabat perdana menteri rejim Zionis dan ibu pejabat komander tentera udara rejim telah disasarkan,” kata IRGC dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh agensi berita Fars.

Ia berkata peluru berpandu Kheibar telah digunakan dalam serangan itu.

Jejak roket daripada pintasan sistem pertahanan peluru berpandu Iron Dome Israel yang digambarkan di Tel Aviv pada 1 Mac 2026. Foto AFP

Konflik bermula selepas Israel dan Amerika Syarikat (AS) menyerang Tehran pada Sabtu sebelum Iran membalas serangan dengan menyasarkan pangkalan tentera AS di sekitar negara teluk selain ke atas Tel Aviv.

Dalam pada itu, Iraq pada Isnin melanjutkan penutupan ruang udaranya selama 48 jam lagi susulan ketegangan serantau yang berterusan, lapor Xinhua.

Dalam satu kenyataan, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Iraq memaklumkan yang pelanjutan ini berkuat kuasa dari 12.00 tengah hari waktu tempatan (0900 GMT) Isnin hingga 12.00 tengah hari (0900 GMT) Rabu dan terpakai kepada semua penerbangan yang tiba, berlepas dan transit.

Pihak berkuasa menyifatkan langkah ini sebagai langkah “sementara dan berjaga-jaga” selepas melakukan semakan menyeluruh terhadap semua faktor berkaitan.

Keputusan itu akan dinilai semula mengikut perkembangan baharu dan syarikat penerbangan serta pihak berkepentingan akan dimaklumkan tentang sebarang kemas kini.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *