IPR: Kerajaan Negeri Sembilan Sokong Penuh Inisiatif Ubah Ekonomi Rakyat

Aminuddin (dua dari kanan) bersama Rafizi (tengah) dan Amirudin (dua dari kiri) memotong riben pelancaran mesin layan diri yang ditempatkan di Stesen LRT Cempaka, Ampang, Selangor pada Ahad. Foto: Facebook Menteri Besar Negeri Sembilan

AMPANG, 26 Feb – Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, kerajaan negeri menyokong penuh pelaksanaan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang dilancarkan oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli di sini, hari ini.

Beliau berkata, sebagai langkah menambah baik struktur ekonomi negara, inisiatif berkenaan akan menambah pendapatan keluarga miskin tegar dan golongan B40 termasuk penyelesaian ekonomi.


“Kerajaan Negeri Sembilan menyokong penuh usaha ini serta bersedia untuk memberikan kerjasama agar objektif untuk merubah ekonomi golongan miskin tegar dan B40 tercapai.

“Sebagai langkah mengatasi struktur ekonomi negara terutama bagi golongan miskin tegar dan B40, Kementerian Ekonomi telah melancarkan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR),” ujar beliau.


Beliau berkata demikian semasa berucap mewakili kerajaan negeri pada majlis pelancaran inisiatif berkenaan yang turut dihadiri Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari.

Tambahnya, inisiatif ini berperanan melaksanakan strategi serampang dua mata iaitu menambah pendapatan keluarga miskin tegar dan B40 serta menstruktur semula ekonomi rakyat dan negara.


“Terdapat 3 langkah yang bakal dilaksanakan dalam inisiatif ini iaitu Inisiatif Usahawan Tani (INTAN), Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN) dan Inisiatif Operator Perkhidmatan (IKHSAN).

“Ketiga-tiga inisiatif ini mengenalpasti masalah ekonomi harian di samping mewujudkan langkah penyelesaian berdasarkan strategi IPR,” tambah beliau.


Aminuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan yakin pelaksanaan IPR akan membolehkan golongan miskin tegar dapat dibantu keluar dari paras kemiskinan seperti yang dijelaskan Rafizi dalam tempoh dua tahun.

Para penerima bantuan IPR turut menyertai sesi penyerahan sijil kelayakan yang disampaikan Rafizi dan disertai Aminuddin dan Amirudin sebagai simbolik pelancaran hari ini.

Beliau mengharapkan agar inisiatif ini memberi manfaat kepada golongan sasar selain meneruskan bantuan dan inisiatif kerajaan negeri sedia ada seperti Tabung Pembangunan Usahawan Negeri Sembilan (TUNS) dan Bantuan Anak Sekolah (BAS) yang dapat dinikmati sejak 2018.

Sejurus sidang media bersama setelah melancarkan mesin layan diri di Stesen LRT Cempaka, beliau bersama Rafizi melawat pameran pelbagai produk dan perkhidmatan yang ditawarkan agensi kerajaan negeri selain beramah mesra dengan pegawai dan kakitangan yang menjadi teraju pelaksanaan di peringkat kementerian dan jabatan.

Yang turut hadir, beberapa EXCO Kerajaan Negeri Sembilan, Selangor dan wakil rakyat seperti Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail serta para pemimpin masyarakat negeri dan setempat.


Ikuti platform media sosial rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan seperti berikut:

Facebook: https://fb.com/dsaminuddinharun

Twitter: https://twitter.com/dsaminuddin

Instagram: https://instagram.com/dsaminuddinharun

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *