IPIC, Aabar PJS Setuju Bayar US$1.8 bilion Kepada MoF Inc

KUALA LUMPUR, 27 Feb – Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) dan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) telah mencapai satu penyelesaian mengenai pertikaian mereka dengan International Petroleum Investment Company (IPIC) dan Aabar Investments PJS (Aabar PJS) mengenai prosiding undang-undang di Mahkamah Timbangtara Antarabangsa London dan Mahkamah Tinggi London.
Menurut Kementerian Kewangan, dalam hal ini, IPIC dan Aabar PJS dari Abu Dhabi telah bersetuju untuk membayar US$1.8 bilion (kira-kira RM8.06 bilion) kepada MoF Inc dan 1MDB.
“Susulan penyelesaian ini, Malaysia dan Abu Dhabi berharap untuk terus bekerjasama demi kemakmuran dan manfaat ekonomi kedua-dua negara pada masa depan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada 27 November 2019, Jabatan Peguam Negara dalam kenyataannya, memaklumkan 1MDB dan MKD berjaya dalam rayuannya mengetepikan Award Persetujuan terhadap IPIC dan Aabar PJS di Mahkamah Rayuan London.
Dalam kenyataan itu, Jabatan Peguam Negara memaklumkan, Mahkamah Rayuan itu sudah meminda keputusan Mahkamah Tinggi England yang menghentikan permohonan 1MDB dan MKD untuk mengetepikan Award Persetujuan yang dikemukakan pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terhadap entiti Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu, sementara menunggu prosiding timbang tara yang dimulakan oleh IPIC dan Aabar PJS di London.
Oleh itu, Mahkamah Tinggi mengarahkan timbang tara untuk memulakan mana-mana prosiding mahkamah.
Menurut kenyataan itu, berikutan keputusan itu, permohonan 1MDB dan MKD untuk mengetepikan Award Persetujuan, kini boleh diteruskan untuk perbicaraan di Mahkamah Tinggi di London.
Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada Canselor Sir Geoffrey Vos, Lord Justice Newey dan Lord Justice Males, juga memerintahkan prosiding timbang tara selari yang dimulakan kedua-dua pihak untuk dihalang.
Menurut kenyataan dikeluarkan Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas, ketika itu, jika Malaysia berjaya, negara akan, sebagai tambahan kepada hak-hak lain, dapat meneruskan usaha mendapatkan US$3.5 bilion yang dibayar oleh dana 1MDB kepada syarikat subsidiari IPIC.
