Instagram ‘Hilang’ Di Turkiye Buat Hari Ketiga Berturut-Turut

Tiada maklumat lanjut berhubung penggantungan Instagram di Turkiye namun dipercayai melanggar peraturan di negara itu.
ANKARA, 4 Ogos – Pemerintah Turkiye pada Ahad terus menyekat akses Instagram selama tiga hari berturut-turut selepas pihak berkuasa komunikasi BTK mengumumkan langkah tersebut tanpa memberikan butiran lanjut.
Pegawai kerajaan cuba merungkai persoalan pengguna media sosial tersebut apabila menyatakan sekatan itu dilaksanakan di bawah peraturan yang menyasarkan ‘kandungan jenayah’.
“Negara kita mempunyai nilai dan sensitiviti. Pihak berkenaan tidak mengambil sebarang tindakan meskipun kami sudah memberi amaran.
Sekatan itu akan ditarik balik jika peraturan negara ini dipatuhi,” kata Menteri Pengangkutan dan Infrastruktur, Abdulkadir Uraloglu merujuk kepada pemilik platform itu, Meta.
Pada Rabu lalu, Pengarah Komunikasi Presiden Turkiye, Fahrettin Altun mendakwa Instagram cuba menyekat pengguna mereka daripada berkongsi ucapan takziah atas kematian pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh yang disifatkan sebagai satu bentuk ‘tapisan secara terang-terangan’.
Menurut media di Ankara, kira-kira 50 juta daripada 85 juta populasi di negara itu mempunyai akaun Instagram. – AFP
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

