Industri Telekomunikasi Negara Maju Setapak Lagi Dengan Pelaksanaan Dwirangkaian 5G

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata kementeriannya menyambut baik pengumuman daripada pihak Digital Nasional Berhad (DNB) berkenaan penyempurnaan syarat-syarat duluan atau conditions precedent bagi Share Subsription Agreement (SSA) bersama CelcomDigi, Maxis, U Mobile dan YTL Communications untuk memegang saham dalam DNB. Foto Facebook Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR, 21 Jun – Pengumuman kerajaan membuka pelan dwirangkaian 5G disifatkan tepat bagi memastikan keupayaan rangkaian telekomunikasi negara dapat ditadbir urus dengan lebih berkesan dan mampan sambil menyokong rangkaian 5G sedia ada.

Sambil bersetuju dengan keputusan Digital Nasional Berhad (DNB), pemerhati media dan telekomunikasi Zulimran Nasution Abdullah Omar yakin industri telekomunikasi negara akan lebih berdaya saing dari segi tawaran, harga dan pelan kelajuan internet yang lebih kompetetif.

“Isu-isu semasa seperti kelemahan rangkaian (network) di kawasan pedalaman dan kurang penduduk, jaringan kurang stabil dan harga pakej masih tinggi dilihat antara penumpuan kerajaan dalam memastikan sistem dwirangkaian mampu menyelesaikan hal berkenaan.

“Saya menyambut baik pengumuman DNB dan pemecahan monopoli ini, rakyat dapat menikmati rangkaian lebih baik dengan pelan lebih murah selaras dengan konsep Malaysia MADANI menerusi Pakej 5G RAHMAH yang ternyata meningkatkan kebolehcapaian 5G melebihi 80 peratus di kawasan berpenduduk.

“Ia sekaligus membawa keupayaan telekomunikasi negara maju setapak lagi bersama pelaksanaan dwirangkaian 5G atau 5.5G selepas ini bagi komuniti perniagaan dan sektor berteknologi tinggi,” katanya.

Tambahnya, pengenalan dwirangkaian 5G di Korea Selatan antara contoh terbaik dalam memastikan tiada syarikat memonopoli pasaran rangkaian menyebabkan syarikat penyedia telekomunikasi (MNO) berlumba-lumba menawarkan pakej paling murah tanpa mengorbankan kualiti rangkaian.

Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Profesor Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff

Sementara itu, Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Profesor Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata langkah itu juga bukti komitmen kerajaan menamatkan unsur monopoli perkhidmatan 5G sekali gus menjamin daya saing sektor telekomunikasi negara.

“Ia mungkin akan memacu juga inovasi dalam kalangan syarikat penyediaan perkhidmatan kerana wujudnya saingan.”

“Persaingan ini kita harap akan menjadi persaingan sihat yang akan membantu merancakkan lagi industri dalam lokasi tetapi yang lebih penting manfaat untuk rakyat. Ia termasuk dari segi harga pelan dan mutu perkhidmatan di 5G yang terbaik,” kata Dr. Ahmed Razman kepada pemberita secara eksklusif dalam satu temu bual secara maya.

Untuk rekod, kerajaan mengumumkan peralihan daripada model 5G secara rangkaian borong tunggal kepada model 5G secara dwirangkaian tahun lalu.

Terdahulu Kementerian Komunikasi menyambut baik pengumuman daripada pihak DNB berkenaan penyempurnaan syarat-syarat duluan bagi Perjanjian Langganan Saham (SSA) bersama CelcomDigi, Maxis, U Mobile dan YTL Communications untuk memegang saham dalam DNB.

“Ini merupakan antara langkah utama ke arah peralihan kepada model dwirangkaian 5G di Malaysia,” kata menterinya Fahmi Fadzil dalam satu kenyataan hari ini.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *