Hungary Pecah Rekod Suhu Malam Tertinggi Dalam Tempoh 128 Tahun

BUDAPEST, 26 Jul – Hungary melaporkan suhu malam tertinggi dalam sejarah dalam tempoh 128 tahun, iaitu 25.4 darjah Celcius di tengah-tengah gelombang haba yang berterusan di Eropah, kata jabatan meteorologi negara itu semalam.
“Paras suhu malam tertinggi sebelum ini dicatatkan di bandar Szeged pada 24 Julai 1894, pada 24.6 darjah Celcius dan suhu terkini diukur pada 25.4 darjah Celcius di ibu negara Budapest semalam, ” Agensi Anadolu (AA) memetik Direktorat Umum Meteorologi Hungary sebagai berkata dalam satu kenyataan.
Suhu akan menurun esok (hari ini) dan hujan dijangka di beberapa wilayah, namun suhu akan terus meningkat lagi pada hari-hari akan datang, tambahnya.
Eropah sedang bergelut dengan suhu melampau apabila gelombang haba di Sepanyol dan Portugal membunuh lebih 330 orang minggu lalu, manakala United Kingdom (UK) merekodkan suhu terpanasnya Selasa lalu.
Sementara itu, di barat daya Perancis, kebakaran hutan memusnahkan beribu-ribu hektar tanah.
Hungary mengikuti negara-negara Eropah Tengah dan Timur berdepan gelombang panas terburuk sejak 1916.
– BERNAMA
