Hubungan Atas Dasar Kepercayaan Mudahkan Malaysia Selesai Isu – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir semasa sesi dialog di Dialog Kuala Lumpur–Ankara 2026 pada 7 April 2026. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 7 Apr – Hubungan dibina atas dasar kepercayaan dengan negara Asia Barat membuka ruang kepada Malaysia untuk menyelesaikan isu melalui perbincangan, termasuk dengan Iran dalam isu laluan kapal di Selat Hormuz, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, beliau berinteraksi dan bertukar pandangan dengan pemimpin negara berkenaan sebagai sahabat yang dipercayai, selain turut menyampaikan kebimbangan negara Teluk lain akibat kesan konflik Asia Barat.

Perdana Menteri berkata, selepas beberapa kapal komersial milik Malaysia dilaporkan terkandas di Selat Hormuz susulan tindakan Iran menyekat pergerakan di selat itu sebagai tindak balas terhadap serangan oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel, beliau terus menghubungi Presiden Iran, Masoud Pezeshkian.
“Dalam perbualan saya dengan Presiden Iran, saya memaklumkan beberapa kapal utama kita tersekat dan ini akan menimbulkan kesukaran. Beliau (Masoud) segera memberi arahan supaya perkara itu ditangani dan jaminan tindakan akan diambil segera.

“Sekali lagi, ini hanya boleh berlaku dengan tahap kepercayaan seperti ini, namun bagaimana untuk menyelesaikan perkara ini… sudah tentu ini perlu diputuskan oleh komuniti antarabangsa.
“Bagaimanapun, saya juga memahami pendirian Iran dan sebab itu kita tidak menyokong sepenuhnya gesaan untuk membuka laluan tanpa mengambil kira isu di Asia Barat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbincangan bersama Perdana Menteri pada Dialog Kuala Lumpur-Ankara 2026 di sini, hari ini.
Pagi tadi, Kementerian Luar mengesahkan sebuah daripada tujuh kapal komersial milik Malaysia yang sebelum ini, terkandas di Selat Hormuz berikutan perkembangan situasi di Asia Barat diberikan laluan selamat dan kini sedang menuju ke destinasi terakhirnya.

Kementerian itu berkata, hasil positif itu adalah susulan pembabitan diplomatik peringkat tinggi, termasuk perbualan telefon yang konstruktif antara Perdana Menteri dan Masoud pada 26 Mac lalu serta antara Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dengan sejawatnya dari Iran, Abbas Araghchi pada 24 Mac.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, beliau memahami kebimbangan disuarakan negara lain, termasuk Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi susulan tindakan Iran yang meningkatkan ketegangan dan memberi kesan kepada negara jiran, namun situasi Iran juga perlu diambil kira, yang diserang dengan teruk termasuk membabitkan kanak-kanak sekolah dan kemudahan awam.

“Saya tidak boleh mengabaikannya dan sebab itu saya nyatakan Malaysia mengambil pendirian tegas mengecam tindakan agresif Israel dengan sokongan AS. Pendirian kita jelas dan tegas, walaupun berisiko sebagai negara kecil.
“Pada masa sama, saya turut menyampaikan kebimbangan rakan di Teluk. Ada yang mempersoalkan kenapa saya berhubung dengan Iran dan saya katakan, sekurang-kurangnya saya mewakili kebimbangan mereka.

“Kita tidak boleh bersikap hipokrit dengan hanya melihat satu sisi saja. Kita mengambil pendirian yang konsisten dan menyeluruh,” katanya.
Oleh Zanariah Abd Mutalib
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
