Himpunan Pembangkang Gagal, Pengamal Media Lebih Ramai Daripada Peserta!

Pemandangan dari dalam pondok tempat perhimpunan haram yang hanya dihadiri kira-kira 150 orang yang kurang berbanding pengamal media di Putrajaya pada Sabtu.
PUTRAJAYA, 29 Jun – Hanya kira-kira 150 peserta mengadakan himpunan kecil di kawasan letak kenderaan pekarangan Kompleks Seri Perdana di sini, kononnya bagi menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunaikan lapan tuntutan mereka.
Bagaimanapun Anwar kini berada di Pulau Pinang bagi menghadiri majlis rasmi antaranya projek pembinaan bangunan baharu Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta pembinaan projek kereta api Bukit Bendera, kedua-duanya di George Town.
Himpunan berkenaan yang diwar-warkan desakan rakyat akhirnya tidak mendapat sambutan seperti yang diharapkan malah lebih memalukan apabila pengamal media dilihat lebih ramai daripada peserta himpunan itu.
Kumpulan berbaju hitam menerusi perhimpunan Demo Rakyat Lawan Anwar itu mendesak Perdana Menteri menurunkan kembali harga diesel dan tidak menaikkan harga petrol.
Mereka juga menuntut supaya kerajaan pimpinan Anwar mengembalikan bekalan beras putih tempatan (BPT) dan membenarkan pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Selain itu, tuntutan lain yang disuarakan mereka ialah menurunkan kos sara hidup, membela nasib kakitangan kesihatan awam, peruntukan sama rata untuk wakil rakyat, menjamin hak kebebasan bersuara dan menghentikan dasar Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) serta menjarah aset negara.
Peserta perhimpunan itu juga membawa sepanduk tertera tuntutan yang diminta mereka selain menyanyi mengucapkan terima kasih kepada polis.

Perhimpunan itu bermula pada jam 4 petang selesai pada jam 6.20 petang.
Terdahulu, pekarangan Kompleks Seri Perdana di sini, dikawal ketat anggota dan pegawai polis susulan perhimpunan berkenaan.
Malah, laluan masuk ke kediaman rasmi Perdana Menteri serta kawasan sekitarnya dipasang penghadang selepas Ketua Polis Kuala Lumpur menyatakan perhimpunan berkenaan tidak mendapat kebenaran Perbadanan Putrajaya selaku pemilik tanah.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

