Hari Kebangsaan 2024 Jadi Platform Terjemah Aspirasi Malaysia MADANI

Ketua Cabang KEADILAN Beruas, Abul Jais Ashfaq Ahmed menyifatkan sambutan bersejarah ini terus menjadi platform menterjemah aspirasi Malaysia MADANI di seluruh negara.
LUMUT, 30 Ogos – Menjelang Sambutan Hari Kebangsaan ke-67 yang akan diraikan esok, ia dilihat seiring dengan usaha kerajaan memacu jiwa rakyat menyemarakkan lagi aspirasi Malaysia MADANI dalam sanubari masing-masing.
Mengulas kemeriahan yang semakin dirasai itu, Ketua Cabang KEADILAN Beruas, Abul Jais Ashfaq Ahmed menyifatkan sambutan bersejarah ini terus menjadi platform menterjemah aspirasi Malaysia MADANI di seluruh negara.
“Pemilihan tema sambutan tahun ini termasuk Hari Malaysia ke-61 pada 16 September nanti sangat tepat dengan gesaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahukan aspirasi Malaysia MADANI disemarakkan di segenap pelusuk rakyat tanpa mengira kaum dan kecenderungan politik.

“Ia juga melambangkan naratif Jiwa Merdeka yang menjadi tema iringan sambutan tahun ini kerana hanya dengan memerdekakan jiwa sahaja, rakyat dapat merasai perit maung pejuang kemerdekaan memperolehinya daripada tangan penjajah,” katanya.
Tambahnya usaha memperkukuh perpaduan berbilang kaum di negara ini tidak hanya dipikul di bahu kerajaan sebaliknya semua pihak wajar menyemarakkan lagi semangat cintakan tanah air dalam kalangan rakyat.
Bertemakan ‘Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka’, acara sambutan tahun ini bakal mengetengahkan konsep kebersamaan rakyat yang terdiri daripada segenap lapisan masyarakat selari dengan maksud tema tahun ini, iaitu perlambangan kesepaduan secara holistik negara maju dan progresif menaungi rakyat berbilang kaum, bersatu hati serta teguh jati diri.

Acara gilang-gemilang yang akan diadakan di Dataran Putrajaya, dijangka menyajikan perbarisan dan perarakan membabitkan lebih 17,000 peserta, 59 kontinjen, 24 pasukan pancaragam dan 439 aset ketenteraan.
Antara kelainan yang dibawa kali ini ialah perbarisan Kontinjen Komuniti Malaysia MADANI diterajui Kementerian Perpaduan Negara, yang juga kontinjen terpanjang berpakaian etnik lengkap beraksesori bagi melambangkan kepelbagaian budaya masyarakat di negara ini.
Disertai 800 peserta, keunikan kontinjen itu ditonjolkan melalui alatan (prop) dan persembahan khas sebagai simbolik perpaduan masyarakat antaranya kumpulan kompang, chingay, tarian naga dan singa, tarian merak, perarakan kuda serta pahlawan Bajau sekali gus mewarnai sambutan kali ini.

Kontinjen Komuniti Malaysia MADANI merupakan antara tujuh komponen perarakan tahun ini yang terdiri daripada Kontinjen Kesejahteraan dan Keselamatan, Kontinjen Kenegaraan, Kontinjen Kembara Merdeka Jalur Gemilang, Kontinjen GLC dan GLIC, Kontinjen Industri Kreatif dan Penyiaran serta Kontinjen Sukan Negara.
Turut menarik perhatian, Kontinjen Kembara Merdeka Jalur Gemilang yang membabitkan 67 kenderaan sempena ke-67 tahun kemerdekaan dengan peserta daripada pelbagai latar belakang, kaum serta profesion termasuk penjawat awam mahupun swasta.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
