‘Hari Bersejarah Buat Malaysia’ – Nurul Izzah

KUALA LUMPUR, 28 Jul – Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar menyifatkan hari ini merupakan hari bersejarah buat Malaysia.
Ini setelah Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti 2022 dengan sokongan majoriti melebihi dua pertiga iaitu seramai 209 anggota dewan menyokong termasuk beliau dan Ahli Parlimen Pandan; Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ahli Parlimen Tanjong, Chow Kon Yeow.
Seramai 11 pula tidak hadir.
“Hari bersejarah buat Malaysia! 🇲🇾
“RUU Anti Lompat Parti diluluskan hari ini dengan undian 209 Ahli Parlimen, termasuk Permatang Pauh, Tanjong dan Pandan! 💪🏽,” tulis beliau di laman Facebook sejurus selepas RUU berkenaan diluluskan.

Ujar beliau lagi, dengan kelulusan undang-undang ini, semoga ia mampu membawa sedikit sinar kepercayaan buat para pengundi yang akan memberikan undi mereka buat wakil-wakil rakyat yang akan mewakili mereka di parlimen masing-masing.
“Dengan kelulusan undang-undang ini, semoga membawa sedikit sinar kepercayaan buat para pengundi yang akan memberikan undi mereka buat wakil-wakil rakyat yang berkenan di hati.
“Hormati undi rakyat!,” kata Nurul Izzah.
Hantaran di Facebook beliau kini menerima respon lebih 4,200 pengguna ketika disemak sebentar tadi.
Terdahulu, Nurul Izzah yang juga Naib Presiden KEADILAN di saluran Telegram rasmi beliau menyifatkan RUU berkenaan merupakan ‘tiang seri’ kepada MOU antara Kerajaan dan blok pembangkang bagi melarang tindakan lompat parti yang selama ini menjejaskan kestabilan negara.
RUU berkenaan akan dibahas di Dewan Negara pada 9 Ogos ini sebelum dijangka dikuatkasa seawal September ini.
