Hari Arafah Tuntut Ummah Angkat Nilai, Kualiti Diri Depani Cabaran – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunaikan Solat Jumaat di Masjid al-Muttaqin, Wangsa Maju pada 22 Mei 2026. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 22 Mei – Hari Arafah bukan sekadar gambaran kepada kesatuan umat Islam, malah ia menuntut ummah mengangkat nilai dan kualiti diri dalam mendepani tantangan zaman, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mesej mendalam itu jelas Perdana Menteri, didengari menerusi khutbah bertajuk “Arafah Hari Kebangkitan” ketika menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Muttaqin, Wangsa Melawati di sini pada Jumaat.

“Khutbah hari ini bertajuk ‘Arafah Hari Kebangkitan’ menyentuh keistimewaan Hari Arafah pada 9 Zulhijah yang akan tiba kelak.
“Perhimpunan besar yang akan berlangsung ini bukan sekadar gambaran kesatuan umat Islam namun lebih dari itu, kita juga perlu mengangkat nilai dan kualiti umat untuk berhadapan dengan tantangan zaman,” ujarnya.

Anwar turut mendoakan agar semua para petugas dan jemaah terus diberikan kesihatan yang baik selain menyeru mereka memberi tumpuan penuh kepada ibadah haji dan memperoleh haji yang diterima Allah SWT.
Kerajaan Arab Saudi mengisytiharkan Hari Arafah jatuh pada Selasa diikuti sambutan Aidiladha pada Rabu ini.

Seramai 31,600 jemaah Malaysia menunaikan ibadah haji bagi musim 1447H/2026M tahun ini.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
