Hanya Kira-Kira 200 Peserta Himpunan Hadir, Gagal Capai Sasaran

Hanya kira-kira 200 peserta hadir pada himpunan yang dilihat tidak mendapat sambutan di hadapan sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur pada 15 Februari 2026.
KUALA LUMPUR, 15 Feb – Hanya kira-kira 200 orang termasuk penceramah dan peserta dianggar menyertai satu himpunan berkaitan Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki di hadapan sebuah kompleks beli-belah di sini petang tadi.
Malah, jangkaan awal kononnya himpunan tersebut mendapat sambutan, ternyata meleset sama sekali apabila kehadiran seramai 600 anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur serta daerah berhampiran kelihatan lebih ramai berbanding peserta semata-mata bagi memastikan keselamatan dan kelancaran program.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, perhimpunan yang bermula kira-kira pukul 4 petang itu diadakan di hadapan kompleks Sogo sebelum peserta berarak secara aman menuju Bangunan Sultan Abdul Samad dan seterusnya berkumpul di Dataran Merdeka.
“Secara keseluruhannya perhimpunan aman ini berjalan dengan baik hasil kerjasama orang awam yang mematuhi arahan penguatkuasaan. Ketenteraman awam menjadi keutamaan dan keharmonian perlu dikekalkan,” katanya pada sidang akhbar selepas perhimpunan itu.

Bagaimanapun polis akan meneliti keseluruhan perjalanan perhimpunan tersebut bagi memastikan tiada unsur menyentuh isu 3R (agama, kaum dan institusi diraja).
“Sekiranya terdapat sebarang pelanggaran, pihak polis akan membuka kertas siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya,” ujarnya.

Ia penting bagi memastikan mereka tidak menyalahgunakan kebebasan bersuara untuk memfitnah dan menjejaskan ketenteraman awam.
Anggota polis yang mengawal keadaan secara profesional dan tidak berlaku sebarang kekecohan yang tidak diingini.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
