Hampir RM1 Juta Untuk Empat Duta – Namun Apa Hasilnya?

PENDAPAT, 22 Jul – Kerajaan membelanjakan hampir RM1 juta bagi tujuan lawatan rasmi dalam dan luar negara oleh empat Utusan Khas Perdana Menteri, sejak 2020 hingga Jun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Dr Abd Latiff Ahmad, berkata perbelanjaan sebanyak RM923,455.10 itu dikatakan turut membabitkan pelaksanaan fungsi tugas dan komitmen yang dipertanggungjawabkan kepada mereka.

Beliau berkata, empat utusan khas itu juga kononnya berfungsi menarik pelaburan ke dalam negara melalui lawatan rasmi ke luar negara.

Katanya, kerajaan sentiasa berusaha memperkukuhkan sektor ekonomi negara khususnya dalam tempoh fasa peralihan ke endemik COVID-19, tetapi hasilnya masih tidak memberi impak pun kepada ekonomi negara selain membazir wang pembayar cukai semata-mata.

“Segala usaha kerajaan ini demi untuk memastikan rakyat ‘Keluarga Malaysia’ akan terus menikmati hasil pembangunan negara.

“Usaha ini didukung dengan tindakan Kerajaan yang terus berusaha memperkukuhkan asas-asas ekonomi negara melalui pelaksanaan dasar yang terbuka dan telus.

“Langkah ini turut disumbangkan oleh Utusan Khas Perdana Menteri yang berfungsi antara lain untuk menarik pelaburan ke dalam negara,” katanya melalui jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.


Beliau menjawab Chan Foong Hin (PH-Kota Kinabalu) yang meminta kerajaan menyatakan kerja yang dilakukan oleh setiap duta khas Perdana Menteri secara terperinci mengikut pecahan tajuk urusan kerja, tarikh dan perbelanjaan pada tahun 2020, 2021 dan 2022.

Abd Latiff berkata, Utusan Khas Perdana Menteri sentiasa proaktif dan mengadakan beberapa pertemuan rasmi dengan beberapa Duta dan Kuasa Usaha Sementara (CDA) kepada beberapa negara luar.

Beliau berkata, ia adalah bagi mendapatkan maklum balas langsung dan mengeratkan hubungan dua hala membabitkan kerjasama dalam aspek politik, ekonomi dan pendidikan.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, melantik Presiden Pas, Abdul Hadi Awang sebagai Duta Khas ke Asia Barat; Presiden MIC, SA Vigneswaran sebagai Duta Khas ke India dan Asia Selatan; Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Tiong King Sing (China) dan Timbalan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Richard Riot Jaem (Asia Timur).

Namun, apa hasil yang diperolehi rakyat dengan perbelanjaan mengurus empat duta khas mencecah sejuta ringgit?

Di mana impak dan manfaat kepada rakyat setelah hampir sejuta ringgit dibelanjakan?

Berapa pula perincian perbelanjaan yang digunakan untuk membiayai empat duta yang seolah-olah hanya lantikan politik untuk memastikan Ismail Sabri mempunyai majoriti tipis di Dewan Rakyat?

Malah Lim Kit Siang tempoh hari menggesa laporan penilaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) 100 hari dibuat terhadap empat duta khas perdana menteri berkenaan.

Menurut laporan Malaysiakini, pemimpin veteran DAP itu menggesa penilaian itu dibuat sejurus selepas Ismail Sabri mengumumkan seluruh jemaah menteri mencapai prestasi sekitar 90 peratus sepanjang 100 hari pentadbiran.

Lim Kit Siang dalam kenyataannya hari ini berkata, “Jika empat duta besar ini tidak dapat menghasilkan kad laporan 100 hari mereka, apakah fungsi mereka ini?

“Saya sebelum ini bertanya sama ada duta khas Malaysia ke Timur Tengah telah disekat daripada menjejak kaki ke Arab Saudi, dan tidak pernah melawat Arab Saudi sejak dilantik sebagai duta khas setakat April 2020, tetapi tiada jawapan yang diberikan.

“Berapa kali Tiong melawat China sejak pelantikannya dan apakah yang telah dilakukannya untuk mewajarkan pelantikannya? Soalan yang sama ditujukan kepada Hadi, Richard Riot dan Vigneswaran,” ujarnya.

Beliau juga turut mempersoalkan fungsi pelantikan duta atau utusan khas ke mana-mana wilayah apabila dia tidak dapat membuat kunjungan ke wilayah tersebut.

Jadi jangan salahkan rakyat kerana menganggap Ismail Sabri cuma temberang atau berbohong kepada rakyat apabila gagal menyenaraikan pencapaian empat duta berkenaan sepanjang mereka ‘berkhidmat’.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *