Hampir 1,000 Penduduk Beruas Teruja Program Jiwa MADANI Pamer Inisiatif, Pencapaian Kerajaan – Abul Jais

Ketua Cabang KEADILAN Beruas Abul Jais Ashfaq Ahmed yang hadir pada Program Jiwa MADANI Beruas berbangga dengan sambutan luar dugaan penduduk sekitar pada Ahad. Foto Abul Jais

BERUAS, 24 Jun – Hampir 1,000 penduduk sekitar Beruas dan Manjung teruja dan menyambut baik penganjuran Program Jiwa MADANI yang menawarkan pelbagai program dan inisiatif Kerajaan MADANI membantu rakyat sama ada dari kos sara hidup, perumahan mampu milik dan peluang pekerjaan serta pendidikan.

Program yang diadakan di Dataran Inderawati dekat sini pada Ahad mempamerkan pencapaian Kerajaan MADANI dan dalam masa sama menawarkan perkhidmatan terus kepada rakyat seperti kaunter bergerak pendaftaran BUDI MADANI, khidmat nasihat, pemeriksaan kesihatan dan tentunya Jualan RAHMAH MADANI.

Jualan RAHMAH MADANI dan Jualan Agro MADANI mendapat sambutan hangat penduduk Beruas dan Manjung sempena Program Jiwa MADANI yang dianjurkan Jabatan Penerangan Daerah Manjung pada Ahad. Foto Facebook Roziah Hanim Ramli

Kementerian Komunikasi selaku kementerian peneraju berkata ia adalah inisiatif yang memberikan akses kepada maklumat dan perkhidmatan kerajaan kepada penduduk tempatan, terutama mereka yang tinggal di luar bandar.

Menurut Ketua Cabang KEADILAN Beruas, Abul Jais Ashfaq Ahmed, menyifatkan program itu tidak hanya membawa maklumat semasa tetapi juga memberi tumpuan kepada isu-isu penting termasuk penjelasan kepada penyasaran subsidi diesel yang dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Beliau menyatakan rasa bangga kerana dapat berperanan menjayakan program itu yang dianjurkan Jabatan Penerangan Daerah Manjung serta disertai pelbagai agensi kerajaan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Perbandaran Manjung (MPM).

“Selain itu, program ini melibatkan pelbagai agensi penting seperti Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan Jabatan Pertanian Daerah Manjung.

Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) menawarkan pelbagai perkhidmatan kepada rakyat luar bandar bagi mengetahui pencapaian dan bantuan kerajaan pada Program Jiwa MADANI Beruas di Dataran Inderawati pada Ahad. Foto PEDI Batu 14 Lekir

”Ia sekaligus memberi pencerahan kepada rakyat luar bandar betapa Kerajaan MADANI benar-benar mahu membantu rakyat menangani kos sara hidup, menjaga kesihatan diri menerusi Agenda Nasional Malaysia Sihat dan mendapatkan maklumat bantuan yang boleh dimohon menerusi Sumbangan Tunai RAHMAH (STR),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas sambutan di luar dugaan program tersebut yang dirasmikan Ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham pada Ahad.

Perkhidmatan Kaunter Bergerak Majlis Perbandaran Manjung (MPM) membantu rakyat menyelesaikan masalah berkaitan cukai tanah dan sebagainya pada Program Jiwa MADANI Beruas pada Ahad.

Antara aktiviti yang diadakan seperti Jualan Agro MADANI, Kaunter SPNB bagi program Rumah Mesra Rakyat (RMR), Kaunter Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) bagi menyalurkan maklumat isu komunikasi, Kaunter Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berkaitan semakan bantuan dan pendaftaran kad OKU dan sebagainya.

Selain itu kaunter bergerak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Kaunter Caruman KWSP, Kaunter Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) turut dibuka bagi kemudahan rakyat mendapatkan perkhidmatan serta bantuan bersesuaian.

Penduduk Beruas diberi penerangan tentang aplikasi MyCatcher oleh petugas KPDN bagi membantu menyemak senarai harga barangan harian di telefon pintar. Foto Facebook KPDN Manjung

Mengulas lanjut Abul Jais berkata program ini akan ditambah baik dengan penyertaan lebih banyak agensi dan melihat kepada sambutan hari ini, beliau optimis rakyat akan menunggu peluang ini diadakan dalam tempoh terdekat.

”Menerusi pertanyaan spontan kepada hadirin mereka mahukan Jualan RAHMAH MADANI dan Agro MADANI dapat diadakan dengan lebih kerap kerana membantu mereka menjimatkan belanja dapur dan menguruskan kewangan dengan lebih baik.

Kaunter Jualan RAHMAH MADANI bergerak yang dikelola KPDN mendapat sambutan hangat penduduk Beruas berikutan harganya yang lebih murah daripada pasaran. Foto Facebook KPDN Manjung

”Sudah pasti ia akan diadakan dengan lebih baik sesuai dengan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahukan agensi kerajaan turun padang membantu rakyat sebaiknya,” jelasnya.

Seorang penduduk yang ditemui berkata khidmat nasihat daripada pihak NADI amat membantu beliau memastikan produk keluarannya dipasarkan dengan lebih sistematik.

Selain berpeluang menimba ilmu baharu berkaitan pemasaran digital, beliau berharap anak muda dapat merebut peluang yang ditawarkan kerajaan bagi manfaat masyarakat.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *