Hakim Lawat Dua Banglo Terkait Kes Rasuah Zahid

KAJANG, 1 Ogos – Hakim dan pihak yang terbabit dalam perbicaraan kes rasuah Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi melawat dua unit banglo di Country Heights, di sini yang didakwa dibeli menggunakan dana Yayasan Akalbudi (YAB) untuk dijadikan pusat pengajian al-Quran bagi golongan yang akan bersara dan pelajar tahfiz.
Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah tiba di lokasi kira-kira 10.40 pagi diiringi beberapa kenderaan polis dan sebuah kereta peronda polis (MPV) dan dikawal rapi anggota polis serta pengawal keselamatan.
Turut serta dalam lawatan itu ialah Timbalan Pendakwa Raya, Harris Ong Mohd Jeffery Ong dan barisan peguam bela Hisyam Teh Poh Teik dan Hamidi Mohd Noh, yang mewakili Ahmad Zahid.
Sebaik tiba, Sequerah meninjau satu unit banglo di Lot 403, 2A, Lorong Bayu Nyaman, Country Height, di sini, yang diubah suai menjadi Yayasan Al-Falah dan dijadikan pusat pengajian Islam bagi masyarakat di kawasan itu.
Pasukan mahkamah, pendakwaan dan pembelaan menghabiskan sekitar 25 minit untuk melihat keseluruhan banglo, yang menempatkan kira-kira empat bilik dan satu ruang pengajian orang ramai.

Ketika lawatan diadakan, satu sesi kuliah dhuha sedang sedang dijalankan, bagaimanapun pengajian itu tetap diteruskan walaupun dengan kehadiran orang ramai, termasuk petugas media.
Selesai melihat Yayasan Al-Falah, pihak mahkamah kemudian berjalan kaki kira-kira 100 meter untuk melihat dan meninjau sebuah lagi unit banglo yang dijadikan Madrasah Tahfiz Al-Falah.
Madrasah itu menempatkan ruang pengajian dan asrama lebih 60 pelajar tahfiz lelaki serta beberapa tenaga pengajar luar.
Mereka kemudian menghabiskan sekitar 20 minit untuk melihat keseluruhan unit banglo, yang mana ketika itu terdapat pelajar tahfiz sedang melakukan hafazan.
Lawatan berakhir pada jam 11.24 pagi dan semua pihak dimaklumkan bahawa perbicaraan kes itu akan bersambung Jumaat ini.
Pada 6 Julai lalu, Sequerah bersetuju dengan permintaan pihak pembelaan untuk melawat banglo berkenaan demi keadilan dalam perbicaraan kes bekas timbalan perdana menteri itu.
Ia selepas Hisyam Teh berkata pihaknya menjemput mahkamah untuk melawat dua banglo berkenaan bagi memberikan gambaran yang jelas kerana pembelian banglo itu terdapat dalam satu daripada 27 pertuduhan pengubahan wang haram dihadapi anak guamnya dan sering diperkatakan dalam perbicaraan.
Ahmad Zahid yang berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik YAB.
– BH
