‘Hadi Tak Malu Kongsi Kuasa Dengan Pengkhianat Mandat Rakyat’ – Amran

PADANG BESAR, 31 Jul – Presiden Pas, Abdul Hadi Awang terus dikecam susulan kenyataan kononnya Pakatan Harapan (PH) yang didakwa duta khas bertaraf menteri ke Timur Tengah itu sebagai tidak menunaikan janji dalam manifesto.

Terbaharu, Ketua Cabang KEADILAN Padang Besar, Amran Kamarudin, berkata Abdul Hadi terlupa bahawa Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin adalah antara individu yang merangka manifesto berkenaan menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

“Presiden Pas jangan cuba melindungi fakta sejarah bahawa Muhyiddin merupakan salah seorang pemimpin yang merangka manifesto PH bersama-sama Mahathir dan kepimpinan PH sebelum PRU-14,” katanya.

Untuk rekod, manifesto PH dirangka bersama kepimpinan parti komponen iaitu KEADILAN, DAP, AMANAH dan Bersatu yang dipengerusikan Mahathir dan Muhyiddin selaku Presiden Bersatu ketika itu.

Amran turut membidas Abdul Hadi kononnya mendakwa PN berjaya mengatasi masalah ekonomi negara selepas PH dijatuhkan, serta “menyelamatkan negara” ini.

“Dari mana datangnya fakta bahawa PN berjaya memulihkan ekonomi di saat PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) terpanjang di dunia dan lebih 800 ribu hilang kerja selama 17 bulan Muhyiddin dan PN berkuasa?,” soalnya lagi.

“Kalau Abdul Hadi dan PN berjaya atasi masalah ekonomi, mengapa rakyat panggil PN kerajaan gagal dan suruh Muhyiddin letak jawatan lebih singkat daripada PH yang memerintah 22 bulan?,” bidas Amran yang juga Koordinator Ayuh Malaysia Padang Besar.

Beliau seterusnya menasihatkan Abdul Hadi agar ‘cermin diri sendiri’ mengapa Pas sanggup bersekongkol berkongsi kuasa dengan pengkhianat mandat rakyat seterusnya merosakkan lagi ekonomi negara semasa penularan pandemik Covid-19.

“Kalau Hadi seorang agamawan, dia kena muhasabah dan cermin diri apakah Pas sanggup dilacurkan demi kuasa dan merosakkan ekonomi yang memangsakan rakyat sehingga kegagalan Muhyiddin diwarisi pula kerajaan Ismail Sabri,” tambahnya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *