GSF: Pelayaran Misi Guna 15 Bot Bakal Berlepas Dari Turkiye

Para aktivis Global Sumud Flotilla 2.0 (GSF2.0) sedang memuatkan barangan ke dalam kapal yang berlabuh di pelabuhan Marmaris, Turkiye pada 5 Mei 2026. Foto Sumud Nusantara Official

ISTANBUL, 6 Mei – Misi bantuan kemanusiaan ke Gaza, Global Sumud Flotilla 2.0 (GSF) dijangka akan memulakan pelayaran mereka dengan menggunakan 15 buah bot pada 10 atau 11 Mei ini.

Kesemua bot berkenaan dijadualkan berlepas dari Pelabuhan Marmaris, Turkiye merentasi Laut Mediterranean menuju pantai Gaza, kira-kira 700 batu nautika bergantung kepada keadaan cuaca.

Perkembangan itu dikongsikan menerusi hantaran di platform rasmi Sumud Nusantara Official yang memaparkan proses memuatkan pelbagai barangan keperluan misi ke dalam bot-bot berkenaan.

Para aktivis Global Sumud Flotilla 2.0 (GSF2.0) sedang memuatkan barangan ke dalam kapal yang berlabuh di pelabuhan Marmaris, Turkiye pada 5 Mei 2026. Foto Sumud Nusantara Official

Menurut kenyataan tersebut, persiapan logistik sedang giat dijalankan bagi memastikan semua bekalan dan kelengkapan yang diperlukan dapat dibawa bersama sepanjang pelayaran menuju ke destinasi misi.

“Proses memuatkan barang-barang keperluan misi ke dalam bot-bot yang akan berlayar dari Pelabuhan Marmaris, Turkiye bagi meneruskan misi Global Sumud Flotilla ke Gaza.

“Terdapat sebanyak 15 buah bot yang akan berlepas dari pelabuhan ini dalam masa terdekat,” menurut hantaran itu.

Terdahulu, Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby dilaporkan berkata, seramai 10 aktivis Malaysia yang sebelum ini ditahan dan telah dibebaskan tentera Israel akan memulakan pelayaran kedua menuju ke Gaza pada bila-bila masa.

Katanya, kesemua mereka berada di Istanbul, Turkiye dan tidak kembali ke Malaysia bagi meneruskan perjuangan pembebasan Palestin.

Sani Araby menjelaskan, pelayaran kali ini bukan mudah termasuk menyusun kapal untuk dibawa ke Turkiye dengan 17 kapal masih belum ditunda dan sukar menunda kapal yang sudah disabotaj dengan sengaja dilakukan tentera laut rejim Zionis itu.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *