GSF: 23 Aktivis Malaysia Terima Telefon Bimbit Baharu – Fahmi

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menyambut ketibaan 23 aktivis Malaysia yang tiba di KLIA jam 10 malam 7 Oktober 2025. Foto Facebook Fahmi Fadzil

SEPANG, 8 Okt – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menyumbangkan telefon bimbit baharu kepada 23 sukarelawan Malaysia dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza sebagai tanda penghargaan kepada mereka.

Dalam satu kenyataan, Fahmi berkata, sumbangan bertujuan memudahkan komunikasi dan urusan peribadi sebaik kembali ke tanah air, selain membantu sukarelawan terus berkongsi pengalaman dan maklumat misi melalui saluran komunikasi digital dengan lebih efisien.

Beliau berkata, sumbangan kecil itu adalah sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kerana mewakili rakyat Malaysia dalam misi kemanusiaan GSF, serta memberikan maklumat sepanjang berada di atas kapal.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menyambut ketibaan 23 aktivis Malaysia yang tiba di KLIA jam 10 malam 7 Oktober 2025. Foto Facebook Fahmi Fadzil

“Usaha dan semangat sukarelawan misi GSF amat dihargai kerajaan,” katanya.

Selain Fahmi, ketibaan kumpulan sukarelawan itu disambut Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta wakil agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) serta ahli keluarga.

Penerbangan Emirates EK342 yang membawa semua 27 sukarelawan Malaysia termasuk empat orang daripada kapal pemerhati serta lima peguam mendarat pada 10.07 malam, Selasa.

Poster Himpunan Solidariti Bersama Gaza yang dimuat naik Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 7 Oktober 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Pada 2 Oktober, rejim Israel memintas kesemua 42 kapal misi kemanusiaan GSF ke Gaza dan menahan 495 aktivis termasuk 23 aktivis Malaysia, yang kemudian dibebaskan secara berperingkat bermula 4 Oktober.

Jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan menggantikan telefon bimbit kepada 23 sukarelawan GSF yang terpaksa dibuang ke laut mengikut prosedur operasi standard (SOP) keselamatan yang dilatih sebelum pelayaran.

SOP itu adalah langkah berjaga-jaga sekiranya kapal ditahan tentera Israel dengan semua delegasi sudah menerima taklimat dan latihan praktikal sebelum memulakan misi kemanusiaan mereka.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *