Gaza: Tanam Semula Jenazah Yang Digali Dari Kubur Besar

Penduduk Palestin mengebumikan semula jenazah di Rafah, selatan Semenanjung Gaza, selepas ia digali keluar ketika operasi darat tentera Israel menggunakan jentolak. Foto AFP
GAZA, 8 Jan – Penduduk Palestin terpaksa mengebumikan semula jenazah yang digali dari tanah perkuburan di Bandar Gaza, ketika Israel melancarkan serangan darat dan memusnahkan kawasan perkuburan itu.
Rakaman video dari tanah perkuburan di kejiranan Al-Tuffah menunjukkan jenazah dibungkus dalam beg dan diletakkan di atas timbunan tanah.
Jenazah lain kelihatan berselerakan di sekeliling kubur, ketika belasan lelaki memakai pelitup muka bekerja dengan penyodok untuk menanam semula jenazah itu.
Hamas menuduh tentera Israel memusnahkan 1,100 kubur di tanah perkuburan dan mencuri 150 mayat pejuangnya yang syahid dan baru dikebumikan.
Bagaimanapun, tentera Israel berkata, mereka sedang menyemak dakwaan itu dan enggan mengulas lanjut.

Seorang penduduk yang bertanggungjawab menggali kubur, Aliwa, berkata beliau terkejut melihat kubur digali semula secara kasar.
Dia menuduh tentera Israel mengorek kubur dengan jentolak berdasarkan keadaan dan kesan pada tanah.
“Kami sedang mencari jenazah yang masih ada di tanah perkuburan,” katanya sambil menambah hanya sebilangan kecil mayat dapat dikenal pasti.
Operasi serangan balas Israel termasuk mengebom wilayah itu dan menghantar tentera darat, membunuh sekurang-kurangnya 22,722 mangsa setakat ini, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut Kementerian Kesihatan di Gaza yang dikendalikan Hamas. – AFP
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
