Gaza: Mesir Beri Jaminan, Komitmen Mudahkan Akses Bantuan – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jaminan tersebut telah dipersetujui Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi pada satu pertemuan sebelum ini. Foto Arkib PMO
KUALA LUMPUR, 29 Mac – Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Kerajaan Mesir telah memberi jaminan dan komitmen untuk memudahkan akses penghantaran 374 tan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Gaza melalui pintu sempadan Rafah bermula April ini.
Menurut Perdana Menteri, jaminan tersebut telah dipersetujui Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi pada satu pertemuan sebelum ini.
Jelasnya, langkah tersebut membolehkan bantuan dari Malaysia itu segera disalurkan kepada lebih 100,000 penduduk Gaza yang memerlukan.
“Malaysia tidak akan sesekali tunduk kepada sebarang halangan, khususnya daripada rejim Zionis Israel yang terus merencatkan usaha kemanusiaan ini.
“Dalam saat dunia diuji dengan ketidakpedulian dan hipokrasi, Malaysia akan terus berdiri sebagai suara yang berprinsip dan bermaruah, mempertahankan hak mereka yang tertindas,” ujarnya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri memohon rakyat untuk berdoa agar bantuan itu sampai dengan selamat di Gaza.
“Mohon doa agar segala urusan dipermudah dan bantuan ini sampai dengan selamat kepada saudara kita di Gaza, Insya-Allah,” ujar Anwar.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
