Gagal Urus Bekalan Air – Rakyat Kelantan Diseru Bangkit Tolak Pas

PENDAPAT, 30 Jul – Pemimpin PAS Kelantan jangan terlalu angkuh dengan setiap kenyataan yang dikeluarkan. Ia akan menampakkan lebih banyak kegagalan yang berlaku sepanjang pemerintahan PAS di Kelantan.

Rakyat semakin muak dengan kenyataan kurang enak dalam menjawab sesuatu isu yang berlaku.

Jawapan yang keluar di media seolah olah menampakkan hanya PAS sahaja yang pandai dan boleh memerintah di Kelantan. Ia tindakan sikap angkuh pemimpin tersebut yang berselindung di sebalik imej islam yang dibawa.

Ini boleh mencemarkan imej agama Islam itu sendiri dengan menunjuk contoh yang tidak baik di mata rakyat khususnya bukan Islam.

Kebanyakan kenyataan yang dikeluarkan hanya sekadar melepaskan batuk ditangga sahaja. Sebenarnya rakyat ingin lihat apa tindakan yang diambil oleh pihak kerajaan PAS Kelantan.

Ia bukan hanya sekadar retorik jawapan semata-mata tanpa tindakan lanjut. Ia jelas menampakkan kelemahan kerajaan PAS Kelantan yang tiada jalan penyelesaian sebaliknya hanya sekadar mengeluarkan kenyataan jawaban isu berbanding menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan sebagai wakil rakyat yang dipilih.

Ini adalah peluang untuk rakyat menterjemahkan ketidak puasan hati mereka pada PRU 15 nanti.


Gelombang yang luar biasa telahpun jelas terbukti sekarang yang mana rata-rata rakyat telah pun mula membuka mata dengan satu demi satu penipuan Kerajaan PAS Kelantan mula terbongkar melalui kenyataan yang mereka sendiri keluarkan.

Terbaharu, sebagai contoh kenyataan Menteri Alam Sekitar Dan Air (KASA) selaku Ahli Parlimen Kubang Kerian, YB Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga merupakan Timbalan Presiden PAS mengakui permasalahan air di Kelantan berpunca daripada kegagalan pengurusan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) yang merupakan anak syarikat kerajaan negeri sendiri.

Persoalan yang dibangkitkan Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad terhadap punca masalah bekalan air di Kelantan dan rancangan penyelesaiannya, dijawab di Dewan Rakyat secara sambil lewa sahaja tanpa memikirkan mengapa seorang Ahli Parlimen dari luar Kelantan lebih cakna terhadap isu bekalan air daripada berbelas-belas Ahli Parlimen Pas termasuk Menteri Air sendiri dari Kelantan!


Ke mana perginya bantuan kerajaan persekutuan yang disalur berbilion ringgit sejak berbelas tahun lalu yang sepatutnya digunakan bagi menyelesaikan isu bekalan air yang tidak berkesudahan sehingga ke hari ini?

Maka jelaslah mereka tidak mementingkan permasalahan rakyat tapi hanya mennyelesaikan kepentingan sendiri sahaja.

Rakyat Kelantan harus segera bangkit dan menolak Kerajaan Pas kerana peluang telah diberi namun penyelesaian masih tidak dapat dicari biarpun beratus-ratus kertas kerja dibentang tahun demi tahun sehingga ke hari ini.

Muhd Hafiz Muhd Kasasi merupakan Naib Ketua Cabang KEADILAN Kota Bharu

– – – – –

JAWAPAN PERTANYAAN LISAN MASALAH AIR KELANTAN

Soalan:

Nik Nazmi bin Nik Ahmad [ Setiawangsa ] minta Menteri Alam Sekitar dan Air menyatakan punca masalah bekalan air di Kelantan dan rancangan penyelesaiannya.

Jawapan:

Tuan Yang di-Pertua,

1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kementerian sentiasa komited dalam memastikan rakyat mendapat akses kepada bekalan air bersih dan sedar akan permasalahan yang membelenggu rakyat di Negeri Kelantan.


2. Daripada analisa yang dibuat, masalah utama bekalan air di Kelantan bertitik-tolak daripada kelemahan tadbir urus dan kedudukan kewangan Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) yang tidak mampan.

Perkara ini menyebabkan AKSB menghadapi kesukaran untuk menyediakan perkhidmatan bekalan air yang berkualiti kepada penduduk Kelantan.

3. Rentetan daripada itu juga, AKSB menghadapi masalah untuk membangunkan aset air bagi memenuhi permintaan seiring dengan pertumbuhan pembangunan, menaiktaraf aset-aset sedia ada bagi meningkatkan rizab margin, kepatuhan kepada parameter kualiti air minum dan melaksanakan program penggantian paip bagi mengurangkan kadar Air Tidak Berhasil (NRW).

Tuan Yang Di-Pertua,

4. Penyelesaian kepada isu bekalan air bersih di Kelantan melibatkan beberapa pendekatan.

Ini termasuk mengukuhkan kedudukan kewangan AKSB melalui penyelarasan tarif air serta memantapkan tadbir urus AKSB.


5. Bagi meningkatkan rizab margin air terawat kepada tahap yang memuaskan, pelaksanaan projek-projek fizikal seperti naiktaraf dan pembinaan LRA baharu serta program penggantian paip akan menjadi fokus utama.

Antara projek-projek yang sedang dilaksanakan bagi menyelesaikan masalah bekalan air dan seterusnya meningkatkan tahad perkhidmatan adalah seperti berikut :

i. Naik Taraf Loji Rawatan Air (LRA) dengan anggaran peruntukan bernilai RM207.2 juta melalui pinjaman kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) yang dijangka akan siap menjelang tahun 2025.

LRA yang terlibat ialah LRA Chicha
Fasa 2 berkapasiti 10 juta liter harian (JLH), LRA Tanjung Mas berkapasiti 30 juta liter sehari (JLH) dan LRA Bukit Chupak berkapasiti 10 JLH.

ii. pembinaan LRA Mini Telok Mesira, Bachok berkapasiti 2 JLH di bawah pembiayaan pinjaman Kerajaan Negeri Kelantan yang kini telah siap 96% dan dijangka akan siap sepenuhnya pada Ogos 2022;

iii. Program Pengurangan Air Tidak Berhasil (NRW) Kebangsaan melalui Pendekatan 1 berjumlah RM69.95 juta dijangka siap pada tahun 2022. Skop kerja termasuk pemasangan meter System Input Volume (SIV), penggantian meter pengguna, pembaikan tangki-tangki dan penyediaan Geographic Information System (GIS); dan

iv. Pembangunan Sumber Air: Kajian Pembangunan Sumber Air Negeri Kelantan (Fasa 2) telah bermula sejak 26 Januari 2022 dengan tempoh kajian selama 18 bulan.


Kajian ini bertujuan untuk mengkaji potensi pembangunan sumber air permukaan
di lembangan-lembangan sungai di Negeri Kelantan untuk cadangan pembinaan takungan air pinggiran sungai (TAPS).

Tuan Yang Di-Pertua,

6. Unjuran permintaan air Kelantan pada 2030 adalah sebanyak 860JLH. Menyedari perkara ini, Kementerian mencadangkan pembinaan TAPS dan LRA Bersepadu dengan kapasiti 500 JLH di Labok, Jajahan Machang.

Cadangan ini akan melibatkan pembekalan air ke hampir keseluruhan jajahan di Kelantan terutamanya Kota Bharu, Machang, Pasir Puteh, Tumpat, Bachok, Pasir Mas dan Tanah Merah.

7. Dalam hal ini, Kementerian telah mengemukakan permohonan bagi pembinaan TAPS Machang berkapasiti 500 JLH di bawah Rolling Plan Ketiga Rancangan Malaysia ke-12 (RP3 RMKe-12). Projek ini dijangka dapat meningkatkan rizab margin kepada 30%.

Sekian, terima kasih.

– Sumber: Facebook Page Nik Nazmi Nik Ahmad 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *