Fitnah: Vincent Tan Tuntut Sanusi Mohon Maaf, Bayar RM200 Juta

Pengasas Berjaya Tan Sri Vincent Tan turut menuntut Muhammad Sanusi Md Nor membuat permohonan maaf secara terbuka. Foto Arkib
KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Pengasas Berjaya Vincent Tan menuntut Muhammad Sanusi Nor membuat permohonan maaf secara terbuka susulan kenyataan berunsur “fitnah” menteri besar Kedah itu mengenai projek Gerbang Maritim Selangor (SMG).
Vincent dan syarikat Berjaya Land Berhad turut menuntut pampasan sebanyak RM200 juta.
Syarikat itu dalam satu kenyataan berkata, satu surat tuntutan dihantar kepada Sanusi pada 5 Ogos lalu menuntut beliau menarik balik kenyataan itu tanpa syarat, memohon maaf secara terbuka, memberi jaminan tidak mengulangi tuduhan itu dan membayar pampasan sebanyak RM200 juta.

“Sekiranya Sanusi gagal mematuhi tuntutan itu menjelang 8 Ogos ini, satu tindakan undang-undang akan diambil terhadap beliau.
“Pada masa sama, Vincent dan Berjaya Land turut membuat laporan polis terhadap Sanusi dan beberapa individu termasuk Murray Hunter, Badrul Hisham Shaharin (lebih dikenali sebagai Chegubard) dan Raja Petra Kamarudin atas kenyataan berunsur fitnah berkait projek SMG,” kata kenyataan itu.
