Fitnah: Kertas Siasatan Papagomo Diserah Kepada AGC

Blogger Wan Muhammad Azri Wan Deris (dua, kiri) atau Papagomo diambil keterangan berhubung video berbaur fitnah dan mengaibkan Ketua Polis Negara serta PDRM yang dimuat naik di Youtube.

KUALA LUMPUR, 24 Dis – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah melengkapkan siasatan berhubung video tohmahan terhadap pasukan itu yang dimuat naik blogger kontroversi, Papagomo di Youtube, baru-baru ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kertas siasatan kes itu sudah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara (AGC).

“Kertas siasatan sudah dihantar kepada AGC pada Jumaat lalu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali Papagomo diambil keterangan berhubung video berbaur fitnah dan mengaibkan Ketua Polis Negara serta PDRM yang dimuat naik di Youtube.

Razarudin dilaporkan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil, Seksyen 500 dan 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sementara itu, ditanya mengenai siasatan terhadap Presiden Pas, Abdul Hadi Awang berhubung kenyataannya berkaitan isu Batu Puteh yang boleh menimbulkan kegusaran awam, beliau berkata, ia masih berjalan.

“Kita (PDRM) belum merakam percakapan Abdul Hadi dan masih menunggu masa temujanji daripada pihak beliau,” katanya.

Abdul Hadi sebelum ini didakwa memuat naik kenyataan berhubung isu Batu Puteh yang dimuat naik di laman X.

Pada 23 Mei 2008, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Batu Puteh manakala Batuan Tengah yang terletak tidak sampai satu kilometer dari pulau itu milik Malaysia.

ICJ turut memutuskan hak milik Tubir Selatan, kira-kira empat kilometer dari Batu Puteh, akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *