‘Fatwa Politik’: Polis Akan Panggil Muhyiddin Dalam Masa Terdekat

Muhyiddin disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan yang menimbulkan ketakutan dan kegentaran awam serta Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998. Foto Arkib

KUALA LUMPUR, 5 Sep – Polis menerima dua laporan terhadap bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung ucapannya berkaitan ‘fatwa’ haram mengundi calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, siasatan telah dijalankan selepas pihaknya menerima laporan.

“Kita akan memanggil Muhyiddin dalam masa terdekat bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi, pada Selasa.

Pada Isnin, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, polis membuka kertas siasatan terhadap Muhyiddin.

Siasatan dibuat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan yang menimbulkan ketakutan dan kegentaran awam serta Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.

Muhyiddin disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan yang menimbulkan ketakutan dan kegentaran awam serta Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998. Foto Arkib

Terdahulu, tular satu video dalam media sosial menunjukkan bekas Perdana Menteri itu dikatakan mengeluarkan ‘fatwa’ haram mengundi calon PH, Suhaizan Kayat.

Muhyiddin didakwa berkata sedemikian ketika berucap dalam kempen ceramah Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai di Nusa Bestari, Johor Bahru, pada Ahad.

Muhyiddin berkata, ia sebagai menunjukkan bantahan dan kemarahan pengundi di Parlimen Pulai berikutan kerajaan Perpaduan tidak membantu rakyat dalam kesusahan.

“Jangan bagi satu undi pun pada pihak Suhaizan Kayat (calon PH di Parlimen Pulai), bekas Speaker (DUN Johor). Jangan bagi satu undi pun.

“Saya bagi hukum haram. Ada yang esok mencabar saya ini, ikut fatwa mana. Namun tak boleh (undi) kerana situasi yang sudah berlaku sekarang, sudah sembilan bulan berlalu ujian (bagi rakyat) macam soal kenaikan harga barang,” katanya.

Susulan itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyelar kenyataan yang dibuat Muhyiddin dan menyifatkan fatwa politik dikeluarkan bekas Perdana Menteri itu semata-mata untuk kepentingan politik

“Ada seorang yang bukan ulama telah mula keluarkan fatwa politik kononnya undi Suhaizan Kayat haram.

“Saya hendak tanya dengan orang itu (Muhyiddin) ayat Al-Quran dari mana? Hadis dari mana? Qias dari mana? Pandangan ijmak ulama dari mana?

“Ketika beliau (Muhyiddin) menjadi sebahagian daripada PH 1.0 dulu, semuanya halal. Apabila tidak sealiran dengan PH, keluarlah fatwa yang pelbagai,” katanya selepas melawat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kempas Permai di sini, pada Ahad.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *