Fahmi Umum RUU Kekal Kerajaan Hingga Tamat Penggal Masih Dibincang

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil (tengah) ketika berucap pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis Pembukaan Bahagian Baharu (Orchid Wing) OasisEye Specialists di Nexus di Bangsar hari ini. Foto Firdaus Johari
KUALA LUMPUR, 14 Jan – Perbincangan terhadap cadangan mewujudkan rang undang-undang (RUU) bagi mengekalkan sesebuah kerajaan mentadbir sehingga akhir penggal masih di peringkat Jemaah Menteri.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, belum ada lagi perkara khusus untuk membawa cadangan itu ke Parlimen namun perkara tersebut sedang diteliti dan dikaji oleh barisan Jemaah Menteri bagi menjamin kestabilan politik negara.
“Perkara ini ada dibincangkan dalam Jemaah Menteri, ada beberapa pandangan memang sebelum ini secara terbuka ataupun dalam perbincangan yang lebih khusus mengenai keperluan dan kesesuaian.
“Seperti di beberapa negara lain, konsep ‘fix term’ Parlimen. Jadi perkara ini masih awal, kita masih dalam perbincangan.

“Belum lagi ada mungkin perkara khusus yang boleh kita bawa ke Parlimen sekarang. Tetapi antara lain, ia adalah untuk menjamin dari segi kestabilan bagi sesebuah kerajaan itu bagi mengelak daripada beberapa perkara berulang seperti yang pernah berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis Pembukaan Bahagian Baharu (Orchid Wing) OasisEye Specialists di sini hari ini.
Mengulas mengenai isu semasa Fahmi berkata, pelantikan Naib Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Sangetha Jayakumar sebagai Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Pelabuhan Klang (PLK) bukanlah satu masalah kerana parti itu hanya mengkritik pelantikan politik ke syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Fahmi, yang juga Ketua Penerangan parti, berkata terdapat perbezaan antara GLC dan badan berkanun kerana badan berkanun adalah tertakluk kepada akta dan undang-undangnya sendiri.
“Jadi, pelantikan beliau bukan satu masalah kerana LPK bukan GLC,” katanya sambil menambah beliau akan membawa perkara itu ke Kabinet susulan gesaan orang ramai yang inginkan penjelasan mengenai pelantikan sedemikian.
Khamis lalu, Sangetha mengesahkan pelantikan beliau sebagai Ahli Lembaga Pengarah LPK menerusi hantaran di laman Facebook.
Pelantikan beliau kemudian dikritik di media sosial selepas pengguna merujuk ciapannya pada Oktober 2020 mengenai tindakan kerajaan Perikatan Nasional ketika itu yang memberikan jawatan dalam GLC kepada penyokong gabungan politik itu.

Sementara itu, mengenai majlis hari ini, Fahmi berkata beliau akan membantu menampung kos rawatan atau pembedahan mata golongan B40 yang memerlukan di kawasan berkenaan,.
“Komitmen saya sebagai Ahli Parlimen Lembah Pantai, sekiranya ada mana-mana keluarga yang memerlukan rawatan atau pembedahan berkait dengan kesihatan mata, maklumkan kepada saya,” katanya.
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi menyarankan agar satu RUU khusus dibentang untuk menghalang sesebuah gabungan ataupun mana-mana parti dominan yang membentuk kerajaan ditumbangkan di pertengahan penggal.
Dalam pada itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, cadangan tersebut akan memberi peluang kepada parti yang memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) memerintah dan meneruskan agenda pembangunan tanpa digugat dengan sebarang usaha menumbangkan kerajaan.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
