Fahmi Saksi Pertukaran 9 MoU Babitkan Syarikat Telekomunikasi Dan Agensi Malaysia Pada MWC2024

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil merasmikan Pavilion Malaysia pada Mobile World Congress 2024 (MWC 2024) di Barcelona, Sepanyol pada Isnin. Foto Bernama
BARCELONA, 27 Feb – Pertukaran sembilan memorandum persefahaman (MoU) membabitkan syarikat telekomunikasi dan agensi Malaysia telah berlangsung setakat ini pada Mobile World Congress (MWC) Barcelona 2024.
Pertukaran MoU tersebut disaksikan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang mengetuai delegasi Malaysia ke kongres berkenaan.
15 lagi pertukaran MoU dijadual berlangsung hari ini.
CyberSecurity Malaysia menandatangani MoU dengan CTM360 W.L.L, yang merupakan firma keselamatan siber terkemuka dan pakar dalam menguruskan ancaman siber.
Huawei Malaysia memeterai MoU dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk menjalin kerjasama membangunkan inisiatif pembangunan tenaga kerja dan menjalankan penyelidikan berkaitan dalam industri komunikasi dan multimedia di Malaysia.

Tujuh lagi MoU membabitkan U Mobile dan Zte, 2 MoU U mobile dan CelcomDigi, Maxis dan Huawei, Maxis dan Dell Technologies, Maxis dan Nokia serta ITCO Niaga dan Ausonia S.R.L.
Kerjasama yang akan terjalin termasuk program 5G-Advanced dan memperkukuh keberkesanan, keupayaan dan pemantauan rangkaian menerusi teknologi kecerdasan buatan (AI).
Dalam pada itu, Fahmi turut mengadakan lawatan ke reruai Huawei and Ericsson yang merupakan reruai terbesar dan kedua terbesar sempena MWC kali ini.
- Oleh Hanim Muhili
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
