Fahmi Nafi Arah Google Nyahaktif Ciri Graf Tukaran Matawang

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menafikan dakwaan seorang pengguna X kononnya beliau mengarahkan Google menyahaktif platform tukaran wang asing.

KUALA LUMPUR, 15 Ogos – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, sekali lagi menafikan dakwaan yang beliau mengarahkan Google menyahaktif ciri graf pertukaran nilai mata wang ringgit di platform enjin cariannya.

Menjawab tuduhan seorang pengguna X, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu menegaskan beliau tidak pernah mengarahkan penyedia perkhidmatan itu berbuat demikian.

“Saya tidak pernah arah Google tutup ‘currency exchange’ (pertukaran mata wang) di search box (kotak carian) seperti yang saudara tuduh,” katanya kepada seorang pemilik akaun dikenali sebagai Khairi Zulfadhli.

Penjelasan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil terhadap fitnah yang dilempar seorang individu kononnya beliau mengarahkan Google menyahaktif platform tukaran matawang. Foto X Fahmi Fadzil

Memetik laporan, terdahulu, individu berkenaan mendakwa dia terpaksa menukar nilai mata wang ke dolar Singapura (SGD) terlebih dahulu sebelum menukar kepada ringgit.

“Fahmi Fadzil arahkan Google tutup ‘currency exchange’ di ‘search box’. Dah satu hal kena search SGD dulu, baru tukar ke MYR (ringgit Malaysia), ” dakwa Khairi.

Menjelaskan dengan lebih lanjut, Fahmi berkata Google menurunkan ciri berkenaan selepas memperoleh maklum balas daripada Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai kesilapan data yang dipaparkan.

Sebelum ini, Google memaklumkan mereka masih menjalankan ujian dengan pembekal data FX yang dikenal pasti dan akan kembalikan ciri itu bila mereka lebih yakin kesilapan data tidak lagi berulang, jelasnya.

Pada Mac lalu, Fahmi menjelaskan tindakan Google menyahaktifkan ciri tukaran MYR di enjin cariannya bukan atas arahan mana-mana pihak, sebaliknya bagi menyelesaikan beberapa aspek teknikal.

Google melakukan kesilapan dalam menerbitkan data kadar pertukaran ringgit sebanyak dua kali tahun ini, iaitu pada 6 Februari dan 15 Mac lalu sehingga mengundang polemik di media sosial.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *