Enam Negeri Sepakat Bubar DUN Dalam Tempoh 2 Minggu Terakhir Jun

Aminuddin (kiri sekali) bersama lima Menteri Besar dan Ketua Menteri minum petang di Kuala Lumpur sempena Mesyuarat Majlis Raja Raja (MRR) yang bersidang selama dua hari.

KUALA LUMPUR, 22 Feb – Enam negeri mencapai persetujuan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing pada tempoh dua minggu terakhir Jun ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata kesepakatan itu dicapai dalam satu pertemuan antara enam Menteri Besar serta Ketua Menteri di ibu negara hari ini.

“Kami berenam mengambil kesempatan minum petang di Kuala Lumpur sempena Mesyuarat Majlis Raja Raja (MRR) yang bersidang dua hari.

“Secara ringkas kami mencapai kata sepakat untuk mempertimbangkan pembubaran DUN masing-masing dalam dua minggu terakhir Jun 2023,” katanya di Facebook hari ini.


Selain Amirudin, turut bersama dalam pertemuan itu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Aminuddin Harun dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Selain itu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor serta Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Amirudin berkata, persefahaman sudah pasti akan dimaklum serta dibincangkan di peringkat parti masing-masing sebelum dipersembah bagi tujuan perkenan Sultan, Yang Dipertuan Besar serta Tuan Yang Terutama Negeri masing-masing.

“Semoga persefahaman ini dapat mempermudahkan usaha rakyat untuk merayakan demokrasi kelak, Insya-Allah,” katanya.

Sementara itu, Aminuddin yang juga Pengerusi pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan memberitahu perkara itu akan dimaklumkan kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) akan datang dan terpulang kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menetapkan tarikh PRN di Negeri Sembilan serta lima lagi negeri lain.

“Pembubaran DUN pada tarikh berkenaan paling sesuai kerana akhir Mei adalah tempoh akhir (DUN Negeri Sembilan)…jadi selepas Mei atau Jun, ok tiada masalah.

“Mungkin kita (Negeri Sembilan) lebih awal seminggu dua (bubar DUN), itu adalah sesuai. Bermakna kita akan bersama (dengan negeri lain) mengadakan pilihan raya,” katanya baru-baru ini.

Mengambil kira tempoh masa pembubaran itu, Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu serta Kelantan dijangka diadakan pada Julai atau Ogos ini.


Tiga negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan kini di bawah pentadbiran PH sementara Terengganu, Kedah dan Kelantan, di bawah Perikatan Nasional (PN).

PRN itu perlu diadakan memandangkan tempoh mandat DUN di enam negeri berkenaan akan berakhir pertengahan tahun ini.

Terdahulu, Aminuddin mengiringi Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja Yang Ke-261 di Istana Negara pagi ini.

Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ini dipengerusikan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, Sultan Selangor.

Ikuti platform media sosial rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan seperti berikut:

Facebook: https://fb.com/dsaminuddinharun

Twitter: https://twitter.com/dsaminuddin

Instagram: https://instagram.com/dsaminuddinharun

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *