Duta Besar Amerika Didakwa Tidak Mempunyai Hubungan Baik Dengan Singapura

Senat Amerika Syarikat memperakui pelantikan Jonathan Kaplan ke Singapura namun hubungannya dengan pemerintah republik itu tidak baik kebelakangan ini. Foto Bloomberg

SINGAPURA, 2 Mac – Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Singapura Jonathan Kaplan didakwa mempunyai ‘hubungan tidak baik’ dengan beberapa kementerian Singapura, sehingga menghalang matlamat diplomatik AS, kata laporan badan pemerhati rasmi.

Akhbar tempatan The Straits Times yang melaporkan perkara itu memetik laporan Pejabat Ketua Pemeriksa (OIG) Jabatan Negara AS yang dikeluarkan bulan lalu.

“Beberapa bahagian kedutaan menyatakan Duta Besar mempunyai hubungan yang keruh dengan beberapa kementerian Singapura,” menurut laporan itu.

Laporan itu menyatakan, dalam sesetengah kes, ia menjejaskan kemajuan dalam matlamat diplomatik malah mengesyorkan siasatan lanjut ke atas kelakuan Kaplan.

Dalam responsnya, Kaplan berkata, beliau bertanggungjawab sepenuhnya dan berjanji untuk menangani kebimbangan yang dibangkitkan dalam laporan itu.

Senat Amerika Syarikat memperakui pelantikan Jonathan Kaplan ke Singapura namun hubungannya dengan pemerintah republik itu tidak baik kebelakangan ini. Foto Bloomberg

“Saya menyokong kerja OIG Jabatan Negara. Saya dan pasukan saya bertanggungjawab sepenuhnya untuk menangani kebimbangan dan cadangan yang terdapat dalam laporan dengan segera,” katanya dalam satu kenyataan.

OIG menjalankan pemeriksaan rutin yang dimandatkan oleh kongres. Hasil laporan itu adalah berdasarkan penemuan menerusi semakan dokumen, tinjauan dan temu bual kakitangan kedutaan dan pemerhatian mesyuarat dan aktiviti kedutaan.

Dalam laporan itu, Duta Besar didakwa ‘selalu tidak bersedia mengenai isu dan membuat kenyataan yang tidak produktif kepada bahagian kerja’.

Ia menyebut, banyak projek membabitkan pegawai AS tidak dapat dicapai, mengalihkan kepada sumber kedutaan yang terhad dan menjejaskan keupayaan kakitangan untuk melaksanakan tugas teras. Kakitangan juga mempersoalkan kegunaan beberapa projek dalam mempromosikan kepentingan AS di Singapura,” katanya.

Laporan itu juga mendapati Duta Besar mempunyai hubungan yang terhad dengan media tradisional Singapura. Sejak tiba di Singapura, beliau hanya mengadakan dua sidang akhbar dengan satu daripadanya tidak direkodkan.

“Duta Besar memberitahu OIG bahawa beliau tidak perlu berurusan dengan media tradisional Singapura dan lebih suka menggunakan media sosial,” kata laporan itu.

Beliau juga didakwa bersikap kelihatan tidak mengambil berat terhadap keutamaan media sosial kedutaan dan sebaliknya memberi tumpuan kepada jumlah pengikut di akaun Instagram rasminya, yang pada Mac 2023, mempunyai 825 pengikut.

Kaplan ialah pereka kamera video Flip dan ketua eksekutif pengasas The Melt, rangkaian restoran kasual segera, dilantik sebagai Duta Besar pada akhir 2021.

Beliau dilaporkan menderma lebih AS$100,000 (S$134,000 atau RM474,550) kepada kempen Demokrat dalam tempoh 10 tahun sebelum dilantik.

Ia adalah pelantikan diplomatik pertamanya.

Dalam penemuan lain, laporan itu menyebut, Duta Besar membelanjakan hampir AS$10,000 (RM47,455) untuk perbelanjaan perundingan yang tidak dibenarkan, AS$48,000 (RM227,784) untuk yuran perjalanan tertunggak, dan AS$27,000 (RM128,128) untuk mendapatkan piano supaya rakannya bermain bagi acara di atas kapal Tentera Laut AS.

OIG bertanggungjawab untuk mengesan dan menyiasat pembaziran, penipuan, penyalahgunaan dan salah urus sumber Jabatan Negara.

Laporan itu juga mengesyorkan siasatan lanjut oleh Jabatan Negara terhadap kelakuan Kaplan.

Jurucakap Jabatan Negara memberitahu The Straits Times, laporan OIG itu sedang dipandang serius.

Pegawai itu berkata, Biro Hal Ehwal Asia Timur dan Pasifik dan Kedutaan AS di Singapura turut bersetuju dengan cadangan OIG dan Kedutaan di Singapura sudah memulakan perubahan organisasi dan prosedur yang penting yang bertujuan untuk menangani masalah itu.

“Cadangan itu tertumpu untuk memastikan AS berada pada kedudukan terbaik untuk meningkatkan hubungan kami yang sangat baik dengan kerajaan Singapura,” kata jurucakap itu. – AGENSI


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *