Dua Anak Mahathir Belum Isytihar Senarai Aset Kepada SPRM – Azam Baki

Dua anak Mahathir iaitu Mokhzani (kiri) dan Mirzan masih belum mengisytiharkan senarai aset yang dikehendaki SPRM setakat ini. Foto Arkib

KUALA LUMPUR, 29 FebSuruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) belum menerima pengisytiharan senarai harta daripada dua anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perkembangan itu dimaklumkan Ketua Pesuruhjaya, Tan Sri Azam Baki ketika ditanya pemberita selepas majlis perasmian Sidang Kemuncak Pencegahan Rasuah Kebangsaan 2024, yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sini hari ini

“Setakat ini kita belum terima,” katanya ringkas.

Minggu lalu, portal berita melaporkan SPRM difahamkan telah memberi tempoh 30 hari lagi untuk Tan Sri Mokhzani mengisytiharkan harta selepas ahli perniagaan membuat permohonan secara rasmi.

Dua anak Mahathir iaitu Mokhzani (kiri) dan Mirzan masih belum mengisytiharkan senarai aset yang dikehendaki SPRM setakat ini. Foto Arkib

Dalam laporan berkenaan, Azam dipetik memamkumkan bahawa Mirzan juga telah membuat permohonan sama dan turut diberikan lanjutan 30 hari pengisytiharan hartanya kepada agensi pencegahan rasuah itu.

Bulan lalu, media melaporkan, SPRM mengeluarkan perintah notis mengikut Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009 terhadap Mirzan dan Mokhzani yang kedua-duanya turut dipanggil untuk disoal siasat dan ketika itu asas sebenar siasatan tidak jelas.

Mengenai siasatan kes membabitkan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, Azam berkata, proses itu masih berjalan.

“Perlu diingatkan, tuduhan di mahkamah adalah mengenai pengisytiharan harta, tetapi kes membabitkan pelbagai tuduhan lain terhadap beliau masih berjalan. Masih ada keterangan lanjut daripada pelbagai pihak termasuk dari luar negara,” katanya.

Sebelum ini, SPRM menyerahkan notis kepada Mirzan dan Mokhzani mengikut Seksyen 36 Akta SPRM yang mengkehendaki mereka membuat pengisytiharan harta dalam tempoh 30 hari selepas tempoh asal notis itu yang sepatutnya tamat pertengahan bulan ini.

Azam dipetik berkata, dua anak bekas Perdana Menteri itu boleh didakwa jika gagal mengisytiharkan harta mereka kepada agensi berkenaan.

Berikutan itu, dua beradik terbabit mengeluarkan kenyataan media pada 8 Februari bagi meminta SPRM ‘bersabar’ dan menjelaskan adalah usaha yang mustahil untuk mengumpulkan maklumat selama 43 tahun.

Menurut Mirzan dan Mokhzani, SPRM telah meminta senarai aset sejak 1981, iaitu tahun pertama Dr Mahathir menjadi perdana menteri.

Terdahulu pada 18 Januari, SPRM dilaporkan mengkehendaki Mirzan mengisytiharkan segala aset alih dan tidak alih yang berada dalam pegangan, sama ada di dalam atau luar negara dalam tempoh 30 hari daripada tarikh notis.

Mokhzani dilaporkan disiasat mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *