Dr. Wan Azizah Seru Pelajar Terus Berusaha Capai Kejayaan Selepas Cemerlang Dalam SPM

Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (tengah) bersama Fadhlina hadir pada Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang SPM bagi DUN Sungai Bakap 2023 di Nibong Tebal pada Khamis. Foto Facebook Dr. Wan Azizah Wan Ismail
NIBONG TEBAL, 21 Jun – Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menyeru para pelajar terus berusaha bersungguh-sungguh mencapai kejayaan dalam bidang yang akan diceburi setelah memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang SPM bagi DUN Sungai Bakap 2023 di sebuah resort dekat sini pada Khamis.

Tambahnya, kejayaan yang diraih menjadi pembakar semangat untuk meneruskan kecemerlangan masing-masing bagi kemajuan negara pada masa akan datang.
Majlis ini diadakan bagi meraikan kejayaan pelajar-pelajar atas kesungguhan dan keazaman mereka tekun berusaha hingga mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan itu.
Dalam pada itu beliau yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak menasihatkan pelajar agar memilih jurusan yang sesuai dengan pasaran kerja semasa apabila menjejakkan kaki ke menara gading kelak.

Yang turut hadir Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid; Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin dan calon Perpaduan DUN Sungai Bakap, Dr. Joohari Ariffin.
“Semoga pelajar-pelajar ini terus berjaya di masa hadapan dan kita semua dilimpahi segala kebaikan di dunia dan di akhirat. Aaminn YRA,” ujarnya.
Untuk rekod pada 27 Mei lalu, Pengarah Pelajaran Pulau Pinang, Abdul Said Hussain berkata, seramai 755 daripada 17,237 calon SPM 2023 di negeri ini memperoleh keputusan semua A dalam semua mata pelajaran.
Sementara peratus pencapaian layak sijil bagi tahun 2023 adalah 92.64 peratus iaitu peningkatan sebanyak 2.43 peratus berbanding 90.21 pada 2022.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
