’Diamlah Sanusi!’ – Fahmi

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menempelak Sanusi yang dilihat menyibuk di negeri lain sedangkan lebih baik dia sibukkan diri dengan siapkan projek yang dia umumkan untuk Kedah sama ada projek Kumpulan Widad atau litar lumba di Sungai Petani. Foto Facebook Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR, 23 Apr – Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor sepatutnya fokus membangunkan negeri Jelapang Padi itu berbanding sibuk mengulas isu politik di negeri lain.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menyifatkan Muhammad Sanusi sebagai seorang yang banyak mulut namun tiada hasil.

“Saya fikir daripada dia (Sanusi) menyibuk di negeri lain lebih baik dia sibukkan diri dengan siapkan projek yang dia umumkan untuk Kedah sama ada projek Kumpulan Widad atau litar lumba di Sungai Petani.

“Dia (Sanusi) ini kuat bercakap tapi hasil projeknya bukan begitu banyak. Cukup berbeza kalau dibanding dengan Menteri Besar Selangor yang umum projek dan ia akhirnya selesai terbina,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menempelak Sanusi yang dilihat menyibuk di negeri lain sedangkan lebih baik dia sibukkan diri dengan siapkan projek yang dia umumkan untuk Kedah sama ada projek Kumpulan Widad atau litar lumba di Sungai Petani. Foto Facebook Fahmi Fadzil

Dalam masa sama, Fahmi menasihatkan Muhammad Sanusi yang kini mempunyai kes penghinaan terhadap Sultan Selangor untuk tidak keterlaluan memberi sebarang komen menjelang PRK berkenaan, 11 Mei ini.

“Sanusi sepatutnya diam sahaja,” katanya.

Semalam, Muhammad Sanusi berkata, keputusan MCA mengetepikan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu akan beri kelebihan kepada Perikatan Nasional dan boleh meretakkan hubungan antara Pakatan Harapan dan Barisan Nasional.

Sementara itu, Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, sebarang pertanyaan berhubung Lebuh Raya Bertingkat Penyuraian Trafik Petaling Jaya (PJD Link) perlu disalurkan kepada Kementerian Kerja Raya.

Beliau berkata demikian menjawab kenyataan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang menganggap pengumuman kerajaan mengenai pemberhentian lebuh raya itu memerlukan penjelasan lanjut.

“Beliau perlu membaca kenyataan Kementerian Kerja Raya. Seperti saya katakan pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet minggu lalu bahawa akan ada kenyataan oleh kementerian berkenaan, jadi bacalah untuk dapat maklumat lanjut,” ujarnya.

Pada Khamis lalu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengumumkan bahawa pemaju PJD Link Expressway akan menerima pemberitahuan rasmi mengenai pembatalan projek pembinaan itu tidak lama lagi.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *